Air mata dan emosi bercampur kebanggaan mengiringi kejayaan Ng Eain Yow selepas menghadiahkan pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 buat Malaysia, sebelum tumpuannya kini beralih kepada misi lebih besar -- Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).
Eain Yow mengakui kejayaan di gelanggang Sukan Asia kali ini cukup istimewa kerana pingat emas itu didedikasikan khusus buat ibunya yang sudah kira-kira setahun setengah bertarung melawan penyakit kanser.
“Saya cuba fokus sepenuhnya ketika berada di atas gelanggang. Saya cukup bangga dengan prestasi dalam Sukan Asia kali ini.
“Saya selalu fikir sesi latihan selalu sukar sebagai seorang atlet, namun apa yang saya mahu kongsikan adalah tiada yang lebih kuat berbanding ibu saya, yang ketika ini bertarung nyawa melawan penyakit kanser sejak setahun setengah, berjuang setiap hari.
“Jadi kemenangan pingat emas ini adalah untuk ibu, untuk keluarga saya, untuk negara saya dan setiap seorang yang sentiasa berada di belakang saya,” katanya.
Eain Yow turut mengakui satu perkara yang paling berat buat dirinya adalah apabila tidak dapat berada di sisi ibunya untuk menjaganya sepanjang tempoh perjuangan tersebut.
“Saya tidak dapat berada di sisi ibu untuk menjaga dia,” katanya.
Dalam suasana penuh emosi, wartawan lokasi, Zulhelmi Zainal Azam kemudian bertanya kepada Eain Yow apakah yang ingin disampaikannya kepada ibunya yang sedang menonton.

Jawapannya cukup menyentuh hati.
“Kepada ibu, anda adalah orang paling kuat pernah saya ketahui sepanjang hidup saya.”
Kejayaan di Aichi-Nagoya bagaimanapun bukan noktah buat Eain Yow.
Sebaliknya, juara Sukan Asia itu kini sudah mula memandang ke arah LA2028, yang bakal menjadi pentas Olimpik pertama buat skuasy selepas sukan berkenaan dipilih untuk dipertandingkan di Los Angeles.
Menurut Eain Yow, walaupun rakan-rakan yang mengikuti kariernya sebelum ini sering menyatakan kemungkinan dia suatu hari nanti akan beraksi di Olimpik, peluang itu tidak pernah benar-benar wujud selagi skuasy belum berada dalam program temasya tersebut.
“Jika sebelum ini, rakan-rakan yang mengikuti perjalanan saya sentiasa berkata mungkin satu hari saya akan ke Sukan Olimpik, namun sebelum ini sukan skuasy tidak dipertandingkan lagi.
“Untuk LA2028, skuasy dipilih sebagai salah satu sukan yang dipertandingkan. Saya tidak akan mengambil peluang ke Sukan Olimpik dengan mudah kerana ramai atlet-atlet senior yang tidak dapat peluang ini.
“Ini adalah satu tanggungjawab yang besar membawa nama Malaysia ke pentas tertinggi temasya sukan.
“Kemenangan hari ini adalah permulaan kepada perjalanan ke Sukan Olimpik,” katanya.
Kini, selepas menamatkan misi Sukan Asia dengan pingat emas, Eain Yow mempunyai sasaran baharu untuk dikejar.
Daripada emas Aichi-Nagoya kepada impian Olimpik LA2028 -- perjalanan Eain Yow baru sahaja bermula.