Impian Hong Kong untuk menambah koleksi pingat perseorangan dalam Sukan Asia mampu melonjak bersandarkan kejayaan terbaharu dalam Masters China, di mana dua jurulatih dari Malaysia, Wong Choong Hann dan Loh Wei Sheng, memainkan peranan penting.
Jason Gunawan menewaskan Lee Cheuk Yiu dalam aksi final sesama wakil Hong Kong untuk merangkul gelaran Super 750 berkenaan, sekali gus mencipta sejarah tersendiri apabila tiada pemain perseorangan lelaki dari Hong Kong pernah memenangi satu kejohanan di tahap itu sebelum ini.
Gunawan, yang kini berada di ranking ke-24 dunia, menumbangkan nama besar, termasuk pemain nombor satu dunia, Jonatan Christie, dan Anders Antonsen, sebelum menundukkan rakan senegaranya untuk bergelar juara.
Berbekalkan kehadiran Gunawan, Cheuk Yiu dan pemain berpengalaman, Angus Ng Ka Long, dalam pasukan lelaki, Choong Hann dan Wei Sheng pasti yakin untuk melakar sejarah menaiki podium.
Choong Hann mempamerkan sentuhan luar biasa bersama skuad kebangsaan Hong Kong sejak menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih perseorangan lelaki pada 2023, sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih kebangsaan setahun kemudian.
Bersama Wei Sheng, bekas penolong jurulatih perseorangan wanita Malaysia di sisinya, gandingan itu kini dalam landasan tepat untuk memenuhi misi membentuk unit perseorangan lelaki yang mantap.
Cheuk Yiu kini berada di ranking ke-19 dunia tetapi Gunawan, yang berada di kedudukan ke-24, dilihat bersedia memintas kedudukan rakan sepasukannya itu dalam masa terdekat.
Ka Long pula berada dalam kelompok 30 terbaik dunia dan mungkin tidak mempunyai ketahanan fizikal setanding dua rakan senegaranya tetapi pada usia 32 tahun, dia mampu menjadi watak berpengalaman yang boleh ditagih oleh kedua-dua jurulatih Malaysia itu.
Setakat ini, hanya bekas pemain perseorangan wanita, Wang Chen, pernah menyumbang pingat emas untuk Hong Kong dalam Sukan Asia 2006, yang kekal sebagai satu-satunya pencapaian mereka dalam sejarah temasya sukan pelbagai acara itu.