Meskipun sekadar menamatkan saingan akhir di tempat kelapan, debut di pentas Sukan Asia mampu mengukir senyuman buat penembak negara, Gan Chen Jie, apabila menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang mara ke final bagi sukan menembak di Aichi-Nagoya 2026.
Atlet berusia 21 tahun itu berjaya mengumpul 299.1 mata dalam final acara 50 meter rifle tiga posisi wanita yang berlangsung di Lapang Sasar Menembak Wilayah Aichi pada Sabtu.
Sebelum ini, Chen Jie melayakkan diri ke final selaku peserta kelapan terbaik dengan catatan 587 mata, sekali gus menjadi wakil negara pertama menembusi kelompok lapan terbaik dalam acara menembak di temasya kali ini.
Dua lagi wakil negara, Alia Husna Budruddin dan Nur Suryani Taibi, masing-masing menamatkan pusingan kelayakan di tangga ke-19 dan ke-33 selepas mengumpul 583 serta 576 mata.