Chef-de-mission (CDM) Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Datuk Mohd Sumali Reduan, sudah terasa bahang dan tekanan temasya selepas prestasi cemerlang Malaysia dalam Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Persembahan membanggakan dalam Glasgow secara tidak langsung menjadikan sandaran lebih tinggi diletakkan kepada kontinjen negara yang dijadualkan memulakan cabaran bulan depan.
Sedar tugas berat menanti, Sumali bagaimanapun percaya dengan kerjasama erat semua pihak yang terlibat, tidak mustahil Malaysia mampu memraih keputusan positif di bumi Matahari Terbit itu.
"Sudah pasti Sukan Asia lebih beri tekanan. Saya yakin dengan kemampuan atlet dengan beberapa sukan akan berikan pingat.
"Suasananya lebih berbeza dengan Sukan SEA -- temasya yang lebih besar.
"Skuasy antara sasaran pingat kali ini dengan prestasi di Hangzhou akan menjadi ukuran.
"Pencapaian Sukan Komanwel juga akan menjadi semangat dan (membina) momentum yang bagus, atlet juga mungkin akan berikan prestasi yang luar biasa dan memenangi lebih banyak pingat," katanya yang ditemui ketika mengadakan sesi lawatan ke Pusat Skuasy Negara, Jalan Duta Kuala Lumpur bersama Timbalan CDM, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, hari ini.
Sumali turut berharap agar persiapan atlet yang akan menggalas cabaran negara berjalan lancar seperti yang dirancang tanpa sebarang isu terutama melibatkan kecederaan.
Dalam Sukan Asia Hangzhou 2022, kontinjen Malaysia yang diwakili seramai 289 atlet berjaya memungut 32 pingat keseluruhan menerusi enam pingat emas, lapan perak serta 18 gangsa.