Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) mengumumkan ganjaran bonus RM20,000 buat pemenang pingat emas dalam acara Gran Turismo 7 (GT7), Taj Izrin Aiman Taj Madira dan RM10,000 buat duo e-Football negara, Farish Luzman Muhammad Farid Sellekumar dan Muhammad Hariz Hazmi Hakimin.
Perkara ini diumumkan MESF selepas barisan atlet e-sukan negara selamat tiba ke tanahair secara berperingkat bermula pada Khamis, setelah menamatkan kempen dengan cemerlang.
Taj Izrin Aiman mendapat bimbingan Alex Yoong yang juga lagenda sukan permotoran negara, pada awalnya hanya meletakkan sasaran pingat gangsa dengan kehadiran pelumba e-racing dari Korea, Arab Saudi dan tuan rumah, Jepun yang dilihat lebih ke hadapan dari segi persiapan dan pendedahan.
Manakala Farish Luqman dan Muhammad Hariz Hazmi yang beraksi cemerlang terpaksa akur dengan kehebatan lawan dari Iran yang sememangnya lebih berpengalaman apabila tewas 2-4 secara agregat dalam aksi final.
Ganjaran yang diberikan diharap mampu meningkatkan motivasi barisan atlet e-sukan negara, selain mengharapkan sokongan lebih menyeluruh daripada pelbagai pihak, terutama selepas e-Football dan e-Racing dicadang menjadi kategori yang dipertandingkan dalam Sukan SEA Malaysia 2027.