Pangsapuri servis menjadi tawaran ganjaran sekiranya memenangi pingat emas buat kem bola keranjang senior negara di temasya Sukan Asia 2026 nanti.
Misi memburu kilauan emas di Aichi-Nagoya, Jepun akan menjadi lebih bermakna apabila Persatuan Bola Keranjang Malaysia turut menjanjikan bonus RM50,000 kepada setiap pemain, manakala jurulatih pula bakal menerima dua kali ganda insentif bonus yang dinyatakan.
Presidennya, Datuk Seri Lee Tian Hock, berjanji kejayaan meraih emas bakal menyaksikan setiap pemain dan jurulatih menerima sebuah pangsapuri sekitar kawasan Puchong bernilai lebih RM400,000 serta insentif tunai.
Selain pemain menerima RM50,000 untuk emas serta sebuah rumah, jurulatih bakal mendapat dua kali ganda amaun tersebut iaitu 100,000 ringgit berserta sebuah rumah.
Dalam Sukan Asia kali ini, Malaysia mempertaruhkan barisan terbaik dalam kategori 3s (sepasukan) dan kategori 5 on 5, namun meletakkan sasaran realistik sekurang-kurangnya gangsa bagi skuad lelaki 3s di mana Malaysia diundi dalam Pool B bersama Iran, Hong Kong dan China.
Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad bola keranjang 3s lelaki negara di Sukan Asia adalah tempat ke-13 keseluruhan pada edisi 2018, selepas gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.
"Yang ada peluang untuk raih gangsa adalah acara lelaki 3x3 kerana mereka telah ambil bahagian dalam banyak kejohanan dan mereka beraksi dengan sangat baik.
"Dua minggu lalu mereka berdepan New Zealand, hanya tewas 19-21, bermakna boleh bersaing dengan pasukan kuat di Asia." katanya.