Bintang muda badminton Thailand, Pichamon Opatnipithak yang dikenali sebagai ‘Badminton Princess’, digantung sementara daripada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas sampelnya dikesan mengandungi bahan terlarang furosemide.
International Testing Agency (ITA) berkata sampel atlet itu diambil pada 17 September dalam ujian doping di luar pertandingan di Nagoya.
Furosemide diklasifikasikan sebagai diuretik dan agen penyamaran dalam senarai bahan terlarang WADA.
Susulan penggantungan sementara itu, Pichamon tidak dibenarkan bertanding, berlatih atau menyertai sebarang aktiviti berkaitan pertandingan sehingga proses kes selesai.
Pichamon yang lebih dikenali sebagai ‘Pink’ sepatutnya membantu Thailand dalam acara berpasukan wanita menentang China hari ini.
Bagaimanapun, kes berkenaan masih dalam siasatan dan belum diputuskan secara muktamad. Pichamon mempunyai hak untuk mencabar penggantungan serta meminta analisis sampel B.
Persatuan Badminton Thailand dilaporkan sedang bersedia memohon ujian sampel B, manakala ITA berkata pihaknya tidak akan mengulas lanjut selagi siasatan masih berjalan.