Skip to main content

E-Sukan

Sukan Asia 2026: eFootball cipta sejarah, atlet e-Sukan Malaysia kini sertai Program Podium MSN

Sukan Asia 2026: eFootball Cipta Sejarah, Atlet e-Sukan Malaysia Kini Sertai Program Podium MSN

Evolusi sukan moden terus membuka lembaran baharu apabila atlet e-sukan Malaysia kini menerima pengiktirafan setaraf atlet sukan tradisional menerusi penyertaan dalam Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN).

Pengiktirafan bersejarah itu menjadi bukti bahawa e-sukan bukan lagi sekadar aktiviti rekreasi atau hiburan digital, sebaliknya telah berkembang menjadi disiplin berprestasi tinggi yang berpotensi menghadiahkan pingat kepada negara di pentas antarabangsa.

Langkah tersebut hadir tepat pada masanya ketika skuad eFootball negara sedang mempersiapkan diri menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, yang akan membuka tirai pada 19 September depan.

Buat julung kalinya dalam sejarah temasya itu, eFootball dipertandingkan sebagai acara rasmi yang menawarkan satu pingat emas menerusi format berpasangan membabitkan dua kategori iaitu PlayStation 5 (console) dan peranti mudah alih (mobile).

Penyertaan eFootball dalam temasya pelbagai sukan terbesar Asia itu dianggap satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan e-sukan ke arah pengiktirafan penuh di peringkat antarabangsa.

Malaysia bukan asing dalam arena eFootball. Pada 2022, negara mencipta sejarah menerusi kejayaan Nor Haikal Mohamad Noh meraih pingat emas Kejohanan e-Sukan Komanwel di Birmingham. Walaupun kejohanan itu berlangsung seiring dengan Sukan Komanwel, acara tersebut berstatus sukan pertunjukan dan tidak dikira dalam pungutan pingat rasmi.

Dua tahun kemudian, komuniti eFootball negara sekali lagi melakar sejarah apabila skuad FAM e-Rimau muncul juara dunia. Kejayaan itu dipacu oleh pemain sensasi dalam kategori mobile, Minbappe, yang membantu Malaysia menewaskan lawan di pentas dunia sebelum pencapaian tersebut diiktiraf oleh Malaysian Book of Records sebagai negara Asia Tenggara pertama muncul juara dunia eFootball.

Jurulatih FAM e-Rimau, Shaharil Shaifuddin Shaharuddin, percaya pengiktirafan melalui Program Podium akan memberikan suntikan besar kepada pembangunan atlet e-sukan negara, khususnya dalam aspek latihan, sains sukan dan persiapan menghadapi kejohanan utama.

Bagi misi di Sukan Asia 2026, harapan negara kini digalas oleh dua bakat muda, Farish Luzman Muhammad Farid Sellekumar (Fluz-Siuuu) dalam kategori mobile dan Muhammad Hariz Hazmi Hakimin (WPS Hariz) bagi kategori console selepas kedua-duanya muncul cemerlang dalam saingan kelayakan.

Dengan sokongan MSN serta pengalaman Malaysia mencipta kejayaan di pentas dunia, skuad eFootball negara kini menggalas harapan besar untuk menghadiahkan kilauan pingat pertama dalam sejarah penyertaan acara itu di Sukan Asia.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Football Germany 26 Home Pre Match Jersey Men Black JZ4577

adidas Football Germany 26 Home Pre Match Jersey Men Black JZ4577

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

[NEW] PUMA Portugal Away Jersey Men

[NEW] PUMA Portugal Away Jersey Men

Related Topics

Must Watch Video