Seorang atlet menembak Korea Selatan yang sebelum ini dipilih menyertai Sukan Asia 2026 digugurkan daripada skuad kebangsaan selepas didapati menyimpan 818 butir peluru senapang patah (shotgun shells) di dalam kenderaannya, melebihi had yang dibenarkan.
Menurut pegawai sukan menembak Korea Selatan, atlet itu meninggalkan Pusat Latihan Kebangsaan Jincheon di Wilayah Chungcheong Utara pada 19 Julai untuk menyertai Piala Dunia Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) di Hangzhou, China.
Difahamkan, atlet tersebut tergesa-gesa mengemas peralatan sebelum berlepas sehingga terlupa menutup ruang simpanan belakang (bonet) kenderaannya.
Seorang pengawal keselamatan yang membuat pemeriksaan kemudian menemui 818 butir peluru pertandingan di dalam kereta berkenaan.
Mengikut peraturan kawalan peluru yang ditetapkan, seseorang atlet hanya dibenarkan memiliki maksimum 400 butir peluru senapang patah pada satu-satu masa.
Penemuan itu segera dilaporkan kepada pihak polis serta Persekutuan Menembak Korea (KSF).
Susulan insiden tersebut, KSF mengarahkan atlet berkenaan pulang serta-merta ke Korea Selatan, sekali gus memaksanya menarik diri daripada saingan Piala Dunia ISSF di Hangzhou.
Atlet itu tiba di Korea Selatan pada Sabtu sebelum dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis.
Selepas menjalankan siasatan dalaman, KSF memutuskan untuk menggugurkan atlet berkenaan daripada skuad kebangsaan bagi menghadapi Sukan Asia 2026 atas kesalahan melanggar peraturan berkaitan pemilikan peluru.
Sebagai pengganti, Ahn Dae-myeong, yang mewakili Dewan Bandaraya Busan dan muncul naib juara dalam pemilihan skuad kebangsaan, dinamakan sebagai calon untuk mengisi kekosongan tersebut.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa proses rayuan masih dibuka sehingga 7 Ogos, sebelum keputusan muktamad mengenai penggantian atlet itu dibuat.
Sumber: The Korea Herald