Skip to main content

Sepak Takraw

STL: NS Antlers tidak rela hilang khidmat Haziq Hairul Nizam

Haziq NS antlers

Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan, Wan Mohd Husni Abdullah, akui Negeri Sembilan Antlers tidak rela kehilangan khidmat tekong utama, Haziq Hairul Nizam, menjelang saingan Liga Sepaktakraw (STL) 2026 pada pertengahan tahun ini.

Ini selepas khabar angin bertiup kencang mendakwa tekong kebangsaan itu bakal kembali ke pangkuan Selangor Pistons bagi harungi kempen STL tahun ini.

Advertisement

Tegas Wan Mohd Husni, buat masa ini Haziq masih milik Negeri Sembilan dan MVP STL Champions Cup 2025 itu akan kekal digandingkan bersama pengumpamn, Zuleffendi Sumari, dan perejam, Hafizul Hayazi Adnan, di pentas Piala Emas Khir Johari bulan depan.

Ujarnya, Negeri Sembilan meletakkan harapan cukup tinggi ke atas trio emas Champions Cup itu untuk memacu impian menamatkan kemarau 27 tahun bergelar juara Piala Emas Khir Johari selepas kali terakhir melakukannya pada 1999.

Untuk rekod, Haziq muncul antara watak penting NS Antlers mencipta sejarah meraih kejuaraan hatrik STL Champions Cup dari 2023 hingga 2025.

"Haziq dan dua gandingannya akan bersama Negeri Sembilan bagi saingan Piala Emas," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Alhamdulillah, kami di pihak pengurusan amat lega dengan apa yang dijanjikan oleh tiga pemain ini untuk terus bersama Negeri Sembilan.

"Kami juga akan diperkuatkan dengan beberapa pemain Sukma (Sukan Malaysia)."

 

Must Watch Video