Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, dalam satu kenyataan hari ini melabelkan Sepak Takraw League (STL) sebagai liga terbaik di dunia.
Rata-rata pemain STL dibarisi pemain bertaraf dunia terdiri daripada pemain tempatan dan luar negara.
Untuk rekod, saingan STL kategori 'Premier' telah membuka tirainya bermula hari ini dan diikuti dengan kategori 'division one', dengan sebanyak 12 pasukan akan beraksi merebut gelaran juara.
"Selesai urusan di Dewan Rakyat hari ini, saya terus turun ke Akademi Sepaktakraw Malaysia untuk menyantuni wira-wira sepak takraw negara yang kini kembali berentap dalam CelcomDigi Sepak Takraw League (STL) 2026.
"Mereka baru sahaja pulang dari Aichi-Nagoya dengan pingat emas Sukan Asia. Hari ini mereka sudah kembali ke gelanggang untuk menggalas cabaran bersama pasukan masing-masing. Inilah semangat juara.
"Dalam tempoh kurang setahun, sepak takraw Malaysia telah mencipta sejarah demi sejarah:
"Menamatkan penantian 34 tahun untuk emas Sukan SEA di bumi Thailand.
"Bergelar Juara Dunia buat julung kalinya di Piala Dunia ISTAF 2026, di depan penyokong sendiri di Kuala Lumpur.
"Menamatkan penantian 36 tahun untuk emas Sukan Asia, dengan menewaskan Thailand 2-0 di pentas akhir.
"STL ialah liga sepak takraw terbaik dunia. Ia menampilkan pemain bertaraf dunia, termasuk 24 pemain import dari Thailand, Filipina dan Jepun. Liga sebegini penting supaya momentum ini tidak terhenti di podium. Kita perlukan saingan yang konsisten dan berkualiti untuk terus melahirkan bakat baharu, generasi demi generasi.
"Terima kasih kepada PSM dan Datuk Wira Mohd Sumali Reduan atas kepimpinan yang membawa sepak takraw negara ke tahap ini. Terima kasih juga kepada Astro dan CelcomDigi atas komitmen yang berterusan.
"Buat rakyat Malaysia dan para peminat tegar STL, jom penuhkan gelanggang dan sokong STL dari 6 Oktober hingga 10 Januari!" katanya di laman Instagram.