Program 'Ini Gelanggang Kita' yang berlangsung di Gelanggang Sepak Takraw Kelab Tanjung Rimau AU 3 Keramat mengimbau semula zaman kanan-kanak feeder negara, Amirul Zazwan Amir, yang mula mengenali sukan sepak takraw pada usia 13 tahun di gelanggang yang sama.
Program baik pulih gelanggang hasil inisiatif Astro menerusi aktiviti gotong royong, mengecat dan menceriakan semula gelanggang yang menjadi pusat aktiviti sepak takraw sejak 1988 ini turut menjadi platform untuk mendekatkan pemain sepak takraw negara dengan masyarakat setempat.
Mengimbau zaman kanak-kanaknya, Amirul Zazwan mengakui betapa gelanggang ini banyak menyumbang jasa terhadap perkembangan karier sepak takrawnya hingga ke tahap ini.
"Selepas inisiatif daripada Astro, tempat ini menjadi lebih cantik.
"Saya harap gelanggang ini akan melahirkan pemain-pemain berbakat,.
"Sekarang ini pemain muda pun lebih ramai," katanya.
Ketua jurulatih kebangsaan, Ahmad Jais Baharun, pula melihat program santai anjuran Astro sekurang-kurangnya mengurangkan tekanan pasukan bagi menggalas cabaran berat di Nagoya kelak.
"Program anjuran Astro ini sedikit sebanyak memberi daya tarikan bagi komuniti di sini dan juga salah satu promosi untuk STL (Sepak Takraw League).
"Kami juga tidak mahu pemain terlampau fokus untuk Sukan Asia jadi mereka dapat bersantai untuk melegakan ketegangan cabaran negara selain mempromosikan STL," katanya pula.
Dalam pada itu Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, mendedahkan ada pembaharuan yang menarik menjelang penganjuran STL Edisi Ke-12 menerusi pengenalan perlawanan Piala Sumbangsih.
"Divisyen pertama akan bermula pada 27 Oktober tetapi -- ketika pelancaran (STL) -- buat julung kalinya perlawanan Sumbangsih pada 6 Oktober di antara juara tahun lalu, Perak Bison, dan pemenang Champions Cup, Negeri Sembilan Antlers, diadakan.
"Ia akan merancakkan lagi sebelum saingan sebenar bermula dengan GP Perak," katanya.