Skip to main content

Ragbi

SSR: STAR cipta drama kemenangan saat akhir kecewakan Sekolah Menengah Sains Selangor

SSR

Perlawanan Pool C kategori Premier, Super Schools Rugby (SSR) melibatkan Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) seakan berakhir tanpa mata sebelum akhirnya ditentukan di penghujung aksi.

Dalam keadaan padang berat selepas hujan, kedua-dua pasukan bergelut memecah kebuntuan sebelum STAR memanfaatkan peluang lewat untuk mencuri kemenangan 7-5 ke atas SMSS.

Advertisement

Dominasi dalam fasa akhir membuka ruang buat STAR untuk menghasilkan try dan conversion penting di hujung permainan.

Di sebalik keputusan itu, peranan di bahagian forward menjadi pemisah yang menyaksikan Muhammad Hadi Nasir tampil konsisten membantu gerakan serangan.

Pernah menetap New Zealand sejak berusia tiga tahun, pendedahan awal terhadap ragbi membentuk minat dan gaya permainannya hari ini.

"Kekuatan kami hari ini di bahagian forward. Dengan padang basah yang menyukarkan kami menguasai permainan, cara terbaik adalah bermain secara forward," kata Hadi.

Dalam perlawanan yang dipenuhi pertembungan fizikal, kelebihan bahagian forward STAR yang cemerlang melaksanakan taktikal 'pick and go’ memberi tekanan berterusan kepada pertahanan pihak lawan, secara tidak langsung membezakan kedua-dua pasukan.

"Kami kena simpan bola dalam satu perlawanan yang basah kerana bola terlalu licin.

 

"Ini sebagai salah satu strategi kami," kata pengurus Pasukan STAR, Syafiq Jalaludin.

Bagi SMSS, kegagalan memanfaatkan peluang terutama dalam set piece menjadi faktor yang menghukum mereka meskipun berjaya mendapatkan try lewat untuk merapatkan kedudukan.

"Cabaran terbesar kami lebih bersifat teknikal.

"Kami melakukan banyak kesilapan seterusnya dihukum pihak lawan.

"Bagaimanapun, kami bertahan dengan baik hingga hujung perlawanan malah hampir membuat kebangkitan," kata ketua jurulatih SMSS, Hafiy Syazwi Sajali.

Must Watch Video