Super Schools Rugby 2026 Premier Grand Final mempamerkan rekod demi rekod dicipta di venue ikonik, iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Satu sejarah dicipta Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) yang menjadi pasukan pertama menjadi juara buat kali ketiga di saingan SSR premier.
Lebih manis, misi menghadiahkan kejuaraan itu kepada Puan Pengetua, Mariam Shamsudin berjaya direalisasikan.
Musim yang gilang gemilang, itu adalah ungkapan tepat buat perjalanan SEMASHUR apabila berjaya menundukkan Victoria Institution (VI) di final sekaligus jadi pasukan pertama juarainya untuk kali ketiga.
Namun setiap cerita pasti ada permulaannya, apabila jurulatih, Baharudin Mahani, menjadi individu penting yang melahirkan 'Zealord' pada 26 tahun lalu.
"Alhamdullillah, kami berjaya menjadi pasukan pertama muncul juarabuat kali ketiga," katanya.
"Ini merupakan satu kebanggaan bagi SEMASHUR, sukan ragbi adalah satu legasi buat pasukan SEMASHUR, ia tidak datang dengan mudah, ia tidak datang dengan magis tetapi hasil usaha pemain-pemain dan staf kejurulatihan pasukan. Termasuk dengan sokongan pihak sekolah yang terdiri daripada pengetua serta para guru.
"Saya telah membina pasukan ini bermula pada tahun 2000 dan saya percaya legasi ini tidak akan lenyap dan terhenti di sini sahaja."
Kejayaan ini juga adalah detik manis apabila misi untuk menghadiahkan kejuaraan buat pengetua mereka, Mariam Shamsudin, yang bakal bersara Mei tahun hadapan.
Sementara itu, kejayaan itu juga menjadi titik penting buat kapten pasukan, Muhammad Uwais Irwan, ingin menjadikan kejuaraan ini sebagai permulaan buat karier ragbinya di masa hadapan.
Sementara itu, Meskipun tewas di final 2026, ketua jurulatih ragbi VI, Rozhan Yahya, tetap menganggap musim ini sebagai menakjubkan.
Dapat menewaskan juara bertahan, MRSM Balik Pulau, di separuh akhir dan juga dapat melayakkan diri ke final buat kali kedua berturut-turut tidak boleh dianggap remeh.
Mengakui banyak kesilapan ditonjolkan anak buahnya di final, namun ia adalah titik pembelajaran terbaik buat mereka dan mereka berjanji untuk kembali mencabar kejuaraan pada musim hadapan.