"Bukan mudah untuk kami kembali ke pentas final," kata kapten Victoria Institution (VI), Muhammad Muhaimin Zulkarnain, selepas menewaskan MRSM Balik Pulau dalam saingan separuh akhir Super Schools Rugby (SSR) Divisyen Premier hujung bulan lalu.
Kemenangan itu menyaksikan ulangan aksi final 2023, di mana VI akan berdepan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) di Stadium Merdeka hujung minggu depan.
Bagi Muhaimin, pasukannya sama sekali tidak akan memandang rendah keupayaan SEMASHUR meskipun pernah menewaskan lawan itu dalam pertemuan sebelum ini.
"Kami tidak akan memandang rendah lawan. Saya harap pasukan saya dapat memberikan keputusan yang baik dan positif," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
Muhaimin menambah, perlawanan menentang SEMASHUR dijangka sengit, namun mereka tekad memberikan yang terbaik dalam aksi final itu nanti.
"Mungkin ini penampilan terakhir saya dan angkatan saya, jadi saya harap dapat memberikan keputusan yang baik dalam final nanti," katanya lagi.