Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) memanfaatkan setiap peluang yang hadir untuk meneruskan cabaran dalam Super Schools Rugby 2026 apabila menewaskan Maktab Tentera Diraja (RMC) 14-12 dalam aksi Pool D sebentar tadi.
RMC terlebih dahulu mendahului di babak pertama menerusi satu ‘try’ dan ‘conversion’, sekali gus memadam kelebihan awal KSAH yang mengutip enam mata hasil dua sepakan penalti.
Advertisement
Memasuki separuh masa kedua, perlawanan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Namun, ‘try’ lewat KSAH menjadi pemisah yang memusnahkan harapan pasukan tuan rumah untuk bangkit.
Kekuatan taktikal KSAH jelas terserlah apabila mereka kerap menggunakan sepakan untuk mencipta ruang di bahagian ‘backline’ lawan. Strategi itu terbukti berkesan apabila sembilan daripada 14 mata pasukan hadir menerusi sepakan penalti.
Dalam masa sama, pemain posisi ‘second-row’, Muhammad Zafri Mohamed Zulkifli, tampil sebagai antara tonggak utama pasukan dengan aksi cemerlang dalam setiap set piece termasuk ‘scrum’, ‘rucking’ dan ‘lineout’.
Zafri, yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Giant’, memikul tanggungjawab besar dalam memastikan benteng pertahanan KSAH kekal kukuh setiap kali berlaku pertembungan di bahagian ‘forward’.
Sementara itu, kekalahan tersebut menyaksikan RMC yang dibarisi majoriti pemain Tingkatan Empat terpaksa menamatkan saingan musim ini. Namun, pengalaman yang diraih sepanjang kejohanan dilihat sebagai asas penting untuk mereka kembali lebih kuat pada edisi akan datang.