Tottenham Hotspur terlepas peluang keemasan untuk menjauhi zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila terikat 1-1 dengan Leeds United dalam aksi di laman sendiri awal pagi tadi.
Keputusan seri itu meletakkan Spurs di tangga ke-17 dengan 38 mata, hanya berbeza dua mata daripada West Ham United, yang berada di zon bahaya.
Advertisement
Mathys Tel pada mulanya menceriakan stadium dengan rembatan cantik ke penjuru gol untuk meletakkan tuan rumah di depan pada awal separuh masa kedua.
Namun, kegembiraan itu tidak kekal lama apabila Tel melakukan kesilapan dengan memberikan penalti, yang kemudiannya disempurnakan Dominic Calvert-Lewin.
Leeds hampir memenangi perlawanan pada saat-saat akhir melalui Sean Longstaff tetapi penjaga gol, Antonin Kinsky, bertindak tangkas menyelamatkan keadaan.
Pengendali Spurs, Roberto De Zerbi, mengakui tekanan besar dalam fasa kritikal musim ini telah mengakibatkan pemainnya melakukan banyak kesilapan mudah.
Rekod buruk di laman sendiri terus menghantui Spurs apabila mereka hanya mencatatkan dua kemenangan daripada 17 perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur setakat ini.
Nasib kelab London Utara itu kini bergantung kepada baki dua perlawanan terakhir menentang Chelsea dan Everton untuk menentukan kelangsungan mereka dalam liga utama itu.
