Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, atas perhatian, sokongan dan komitmen berterusan beliau terhadap pembangunan skuasy negara.
Sokongan dan keprihatinan Menteri terhadap atlet dan persiapan pasukan memberikan keyakinan kepada kami untuk terus membangunkan skuasy berprestasi tinggi dan membantu atlet negara bersaing di pentas antarabangsa.
SRAM turut menghargai sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) dalam persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026. Sokongan ini membuktikan bahawa pembangunan atlet adalah usaha bersama dan memerlukan kerjasama rapat antara persatuan dan agensi sukan negara.
Lebih penting, sokongan melalui Program Road to Gold (RTG) memberikan ruang kepada kita untuk merancang persediaan atlet secara lebih tersusun ke arah Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).
Dengan dua atlet skuasy negara yang kini berada dalam laluan ke LA 2028, SRAM melihat sokongan bersepadu KBS, MSN dan ISN sebagai satu komitmen penting untuk memastikan atlet mendapat persediaan, sokongan prestasi dan keperluan terbaik bagi menghadapi cabaran Olimpik.
Kami percaya kejayaan tidak boleh dibina oleh satu pihak sahaja. SRAM, KBS, MSN, ISN, jurulatih dan atlet perlu bergerak sebagai satu pasukan.
Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan yang diberikan. Tanggungjawab kami sekarang adalah memastikan segala sokongan ini diterjemahkan kepada prestasi terbaik atlet dan kesinambungan kecemerlangan skuasy Malaysia.
Aichi-Nagoya adalah satu langkah. LA 2028 adalah sasaran seterusnya. Kita terus bergerak bersama demi Malaysia.
Gerard Monteiro
Presiden SRAM