Pelari menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching, ‘jatuh hati’ dengan laluan tangga di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas menyertai KBS Tower Run 2026.
Lebih manis, Wai Ching berjaya merekodkan masa satu minit 50.98 saat untuk menamatkan cabaran 17 tingkat itu.
Pelari negara berkenaan turut bercadang menjadikan laluan tangga di KBS sebagai lokasi latihan baharu, menggantikan tempat latihan asalnya di Petaling Jaya.
Bagaimanapun, dia terlebih dahulu akan berbincang dengan pihak KBS bagi mendapatkan kebenaran.
Menurut Wai Ching, laluan berkenaan bukan sahaja mencabar dari sudut fizikal, malah dihiasi mural menarik serta menawarkan pemandangan sekitar yang cukup indah.
KBS Tower Run 2026 turut menyediakan dua stesen pada tingkat ketujuh dan ke-13 bagi peserta yang mahu menamatkan larian lebih awal.
Wai Ching selepas ini akan meneruskan cabaran di KL Tower International Challenge pada 20 September, dalam misi mempertahankan gelaran juara.