Pasukan Ragbi Bunga Raya 7 Sebelah Lelaki dan Wanita Bawah 20 Tahun mencatat pencapaian membanggakan apabila kedua-duanya berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Kategori Cup pada Kejohanan Asia Rugby Emirates U20 Sevens 2026 yang berlangsung pada 14 hingga 15 November 2026 di India.
Lebih membanggakan, kejayaan ini menyaksikan pasukan Bunga Raya 7s Wanita Bawah 20 Tahun mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Kategori Cup kejohanan tersebut. Pencapaian ini merupakan satu perkembangan positif dalam usaha memperkukuh pembangunan ragbi wanita negara di peringkat antarabangsa.
Dalam kategori Lelaki Bawah 20 Tahun, pasukan Malaysia mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang peringkat kumpulan dengan mencatat empat kemenangan, masing-masing ke atas Thailand (19-5), Sri Lanka (12-7), Jordan (20-0) dan Singapura (27-0).
Malaysia meneruskan momentum kemenangan dalam perlawanan separuh akhir Cup dengan menewaskan Chinese Taipei 33-12 untuk mengesahkan tempat ke final. Bagaimanapun, pasukan negara terpaksa akur kepada Hong Kong dengan keputusan 7-34 dalam perlawanan akhir.
Sementara itu, pasukan Wanita Bawah 20 Tahun turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila memulakan saingan dengan kemenangan 24-0 ke atas Thailand sebelum tewas 5-31 kepada Hong Kong dalam peringkat kumpulan.
Pasukan wanita negara bangkit dengan aksi penuh semangat dalam perlawanan separuh akhir Cup apabila berjaya menewaskan India dengan keputusan 14-12 sekali gus melakar sejarah dengan melayakkan diri ke perlawanan akhir buat kali pertama.
Dalam aksi final, Malaysia bertemu Hong Kong dan menamatkan saingan sebagai naib juara selepas tewas dengan keputusan 7-43.
Walaupun kedua-dua pasukan menamatkan saingan sebagai naib juara Kategori Cup, kejayaan mara ke perlawanan akhir merupakan satu pencapaian penting bagi pembangunan ragbi 7 sebelah negara, khususnya dalam menyediakan platform pertandingan antarabangsa kepada pemain muda untuk meningkatkan pengalaman, kemahiran dan daya saing.
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pemain, barisan kejurulatihan serta pegawai pasukan atas komitmen, disiplin dan semangat juang yang ditunjukkan sepanjang kejohanan.
Pencapaian ini diharapkan menjadi pemangkin kepada kesinambungan pembangunan pemain muda serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam arena ragbi 7 sebelah Asia.