Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak berhasrat mengganggu siasatan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkenaan dokumentasi tujuh pemain warisan.
Sebaliknya, menegaskan bahawa tiada sebarang usaha untuk melindungi perkara itu, dan meneruskan siasatan mengikut prosedur sewajarnya.
Advertisement
Anwar dalam masa sama juga tidak menolak kemungkinan terdapat tindakan lebih berat bakal dikenakan jika FAM didapati bersalah, meskipun terpaksa menunggu proses yang lama.
"Teruskan dan siasat. Itu telah menjadi arahan. Namun begitu, prosesnya mesti berjalan. Kta tidak membuat keputusan bertindak semata-mata berdasarkan FIFA," katanya kepada media Malaysia dalam penerbangan Malaysia Airlines menuju ke Afrika Selatan untuk lawatan kerja.
Mengimbau kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, di Parlimen semalam, Anwar Ibrahim bersetuju dengan pendirian Hannah agar tidak mendahului sebarang keputusan, malah menunggu laporan penuh untuk dinilai pada masa hadapan.
"Kita langsung tidak mempersoalkan kredibiliti FIFA. Pendirian Hannah betul. Biarkan FAM mempertahankan diri terlebih dahulu. Di pihak kementerian, cara tindakan jelas, ikut peraturan dan undang-undang," katanya.
"Ia di luar kawalan kita. Tiada yang boleh dilakukan. Kita mesti membenarkan FAM mempertahankan diri dan membiarkan proses berjalan," katanya.
Ditanya mengenai adakah kerajaan bakal mengambil tindakan jika nasib tidak menyebelahi FAM, Anwar menegaskan tanpa ragu untuk menjatuhkan hukuman lebih berat.
"Ya, tindakan tegas mesti diambil. Kabinet telah membincangkannya, tetapi kita mesti melalui proses yang ditetapkan. Ia keputusan berat bagi FAM," katanya.