Skip to main content

Bola Sepak

Simposium Bolasepak Rakyat tuntut perubahan drastik dalam FAM

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Zack

Simposium Bolasepak Rakyat 2025 yang menghimpunkan penyokong bola sepak tanah air sebulat suara menggesa ke semua barisan exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk meletakkan jawatan, bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu.

Desakan tersebut dilihat sebagai isyarat kekecewaan akar umbi terhadap hala tuju tadbir urus bola sepak negara, dengan tuntutan agar pembaharuan menyeluruh dilaksanakan demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap sukan itu.

Advertisement

Dalam simposium itu juga, peminat yang hadir menyenaraikan resolusi untuk diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan akan diuar-uarkan dalam media sosial.

"Semasa dahulu kita bercakap mengenai 'presiden FAM, sila letak jawatan' pun ini antara soalan-soalan pilihan.

 

 

"Siapa yang perlu digantikan? "Apa yang kami sudah berbincang dan sepakat, itulah yang perlu dilakukan.

"Waima siapa sekali pun yang dipilih menerajui FAM selepas ini. Inilah perkara yang perlu dibuat pada masa-masa mendatang.

"Itu menentukan siapa itu bukan tanggungjawab kami kerana kami tiada kuasa.

"Tetapi apa yang kami mahukan ialah seperti ini. Itulah yang mereka kena penuhi," kata salah seorang penyokong Harimau Malaya, Alfadli Awaludin.

Sehubungan itu, satu memorandum akan diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dengan permohonan siasatan terhadap FAM serta tindakan penggantungan dipertimbangkan berdasarkan Seksyen 20 mengikut akta Pembangunan Sukan 1997.

"Salah satunya ialah meminta KBS mendesak FAM melucutkan semua jawatankuasa untuk digantikan dengan jawatankuasa yang lebih telus, berintegriti berikutan kejadian yang sedang berlaku sekarang.

"Masalahnya di sini ialah, adakah Menteri KBS berani untuk bertindak?

"Dan, Menteri KBS harus berbesar hati menerima pandangan peminat iaitu pemegang taruh bola sepak Malaysia.

"Kita harus memandang secara positif di mana apa yang berlaku ialah peluang terbaik untuk memperbetulkan semula ekosistem bola sepak Malaysia terutamanya di peringkat FAM," kata pemerhati bola sepak tanah air, Zakaria Rahim.

Langkah tegas yang dicadangkan itu menjadikan Simposium Bolasepak Rakyat 2025 sebagai platform suara terbuka penyokong dan pemerhati sukan, yang menuntut perubahan struktur secara serius demi masa depan bola sepak Malaysia.

Must Watch Video