Krisis dalaman terus membayangi Liverpool menerusi ketegangan antara pengendalinya, Arne Slot, dan Mohamed Salah yang kembali menjadi tumpuan selepas kemenangan 1-0 ke atas Inter Milan dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.
Salah sekali lagi diketepikan daripada skuad susulan temu bual panas hujung minggu lalu yang mendakwa Liverpool telah meletakkan beban kesalahan ke atas dirinya selepas keputusan 3-3 menentang Leeds United.
Advertisement
Penyerang Mesir itu turut mendakwa dia dan Slot kini berdepan 'perang dingin'.
Tanpa kehadiran Salah, tanggungjawab sepakan penalti menjadi milik pemain tengah kelahiran Hungary, Dominik Szoboszlai, yang tenang menyempurnakan gol tunggal permainan.
Ditanya sama ada dia merancang untuk berbincang dengan Salah dalam masa terdekat, Slot menjawab dengan nada sinis namun bersahaja; “Semua orang buat silap, tetapi adakah pemain itu sendiri rasa dia silap?”
Apabila diasak sama ada itu bermakna Salah perlu mengambil langkah pertama, Slot hanya menambah; “Malam ini kita hanya ingin bercerita tentang pemain yang ada.
"Liverpool sudah lalui banyak malam besar seperti ini dalam sejarah.”