Skip to main content

Golf

SIJGC: Wakil negara pamer prestasi memberangsangkan

Golf

Kejohanan Selangor International Junior Golf Championship (SIJGC) 2026 melabuhkan tirainya semalam. Sepanjang tiga hari saingan, bakat tempatan mempersembahkan permainan terpuji antaranya menerusi Aiden Tai John Roberts, Andrew Yap, Kang Geon serta Daichi Hayashi.

Bagi saingan wanita pula, Nur Batrisyia Balqis Abdul Ghani muncul pemain terbaik negara apabila menamatkan saingan di kedudukan kesembilan.

Advertisement

Keputusan positif pemain tempatan mahupun bakat yang digilap menerusi inisiatif di Malaysia menjadi bukti keberkesanan program akar umbi.

Majoriti pemain amatur di Malaysia merupakan produk kebangsaan daripada Program Persatuan Golf Malaysia (MGA), Program Pembangunan Golf Junior Kebangsaan (NJDP), Akademi PKNS serta Universiti Utara Malaysia International School Melaka (UUMISM).

Program seumpama ini menjadi tunjang utama peningkatan drastik bakat tempatan dan berjaya melahirkan pelapis bertaraf dunia melalui pendedahan kejohanan antarabangsa serta latihan kemahiran di bawah jurulatih profesional.

Tambahan, kejohanan berprestij yang memasuki edisi kelima ini menjalinkan kolaborasi strategik hingga berjaya menarik kelompok besar pemain terbaik dari seluruh dunia antaranya Jepun, Korea Selatan serta Thailand.

"Kami amat bersyukur apabila Kerajaan Negeri Selangor sudi menaja kami dalam tempoh lima tahun terakhir ini.  

"Kami mahu menjemput untuk bilangan negara yang ramai dan kami dapat menarik seramai 118 peserta.

"Kejohanan ini antara yang terbaik di rantau ini. Pemain kita dapat bersaing dengan pemain dari Korea Selatan, Jepun dan China dan menimba ilmu di peringkat antarabangsa," kata Jawatankuasa Penganjur SIJGC 2026, Dr Mohd Rom Muslim.

 

Topik Berkaitan

Must Watch Video