Syamimi Amlia merupakan bekas atlet gimnastik berirama negara yang sudah bergiat dalam sukan itu sejak umurnya 10 tahun, pernah mewakili Malaysia dalam pelbagai siangan antarabangsa, termasuk dua edisi kejohanan Asia.
Kemuncak kariernya hadir apabila berjaya meraih satu pingat emas dan dua pingat perak buat kontinjen negara di Sukan SEA Bangkok pada usia 18 tahun.
Terbaru, Syamimi beralih arah sebagai jurulatih gimnastik selain bergelar atlet hibrid yang aktif menyertai pertandingan HYROX -- sukan yang sedang hangat diperkatakan di seluruh dunia.
Namun, perjalanan untuk membentuk dirinya sebagai seorang yang berdisiplin bukan mudah, selama lapan tahun bersama pengorbanan ibu, berulang alik hampir setiap hari dari Seremban ke Kuala Lumpur melibatkan lebih kurang 100 kilometer perjalanan demi memastikan Syamimi mendapat input secukupnya sebagai seorang atlet tidak terjejas untuk harumkan nama negara.
Tidak lagi bersaing dalam sukan gimnastik berirama, Syamimi ambil keputusan untuk melatih generasi muda capai impian dalam sukan gimnastik sambil mencabar firti dalam arena Hyrox dengan memasang impian besar untuk suatu hari nanti layak beraksi di Kejohanan Dunia HYROX.
Baginya, falsafah hidupnya banyak dipengaruhi oleh filem The Greatest Showman, yang menggambarkan keberanian menjadi diri sendiri dan membantu orang lain menjadi versi terbaik diri mereka.