Bekas ratu tenpin boling negara, Datuk Shalin Zulkifli, berkongsi perkembangan terkini kehidupannya yang kini menyambung pengajian Ijazah Sarjana di Korea Selatan selama 17 bulan bermula Ogos tahun lalu.
"Saya telah memohon biasiswa untuk menyertai sebuah program di mana terpilih daripada Kementerian Belia dan Sukan dari Korea.
Advertisement
"Jika tiada aral melintang, saya akan menamatkan pengajian pada akhir tahun ini," katanya.
Shalin turut berdepan detik pilu apabila ibunya, Rohani Razak, meninggal dunia Khamis lalu akibat sesak nafas.
Pemergian itu menambah episod kehilangan dalam hidupnya selepas ayahnya juga, Zulkifli Ali, meninggal dunia secara mengejut pada Disember 2021, ketika sedang tidur.
Walaupun diuji dengan kehilangan insan tersayang, dia tetap cekal meneruskan perjuangan dalam akademik dan kehidupan, sambil menghargai sokongan keluarga serta rakan-rakan.
"Saya mengambil penerbangan dari Seoul dan terus bergegas ke masjid di kawasan rumah saya.
"Saya dapat melihat ibu buat kali terakhir sebelum menuju tanah perkuburan.
"Ibu pernah berpesan; 'jika kamu niat dengan betul bermain untuk negara dan bukan untuk wang ringgit, kamu akan mengecapi kejuaraan," katanya.