Massimiliano Allegri percaya Milan telah menimba pengalaman dalam soal kematangan ketika seri 1-1 Genoa -- yang berada di tempat ke-17 dalam Serie A -- di tempat sendiri, malam tadi.
Pengurus Milan itu percaya anak buahnya terburu-buru dalam usaha memecahkan kebuntuan perlawanan.
Advertisement
Lorenzo Colombo memberikan pelawat pendahuluan dalam separuh masa pertama sebelum gol penyamaan Rafael Leao daripada sepakan sudut pada minit ke-92 menyelamatkan maruah tuan rumah daripada tercalar.
Genoa berpeluang untuk memungut mata penuh dalam sepakan terakhir perlawanan, malangnya sepakan penalti Stanciu itu melepasi palang gol untuk keputusan kekal seimbang.
Bercakap kepada DAZN selepas tamat perlawanan, Allegri menjelaskan bagaimana dia akan menghadamkan keputusan perlawanan di San Siro itu.
“Dalam bola sepak, saya menerima apa sahaja keputusan,” jelasnya.
"Kami perlu mengambil aspek positif daripada perlawanan ini. Genoa sangat bagus dalam mengekang kami.
"Kami mendapati diri kami berada di kedudukan yang baik walaupun mengharungi babak pertama yang sangat sukar, tetapi kemudian bolos dan menjaringkan gol itu.
"Mereka menurun keamatan permainan dalam separuh masa kedua dan kami pula meningkatkannya.
"Perkara yang harus kami perbaiki ialah soal kesabaran ketika menentang pasukan yang gemar bertahan supaya kami tidak terdedah kepada serangan balas, yang mana kami berisiko tewas dalam perlawanan ini.
"Ia adalah satu pengajaran dalam mematangkan kami jika kami ingin mencapai matlamat, iaitu untuk menamatkan kempen dalam kelompok empat teratas.
"Kami perlu meningkatkan prestasi.
"Kami tidak mempunyai kesabaran yang mencukupi, kami terlalu tergesa-gesa dan ia tidak membawa anda ke mana-mana."