Juara Liga Super 12 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT), kekal mengejar rekod dunia meskipun sedikit tersasar apabila seri 1-1 berdepan Terengganu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) semalam.
Harimau Selatan kian hampir untuk memecahkan rekod dunia rentetan perlawanan tanpa tewas terpanjang dalam saingan liga.
Advertisement
Berdasarkan kemas kini terbaru, juara bertahan Piala Malaysia itu sudah melepasi rekod kedua terpanjang perlawanan tanpa tewas dalam liga dengan melakukannya sepanjang 105 perlawanan terakhir.
Ia menyaksikan pasukan gergasi tanah air itu kini mengatasi pencapaian kelab Romania, Steaua Bucharest.
Mereka kini hanya memerlukan empat lagi perlawanan tanpa tewas dalam Liga Super untuk memecahkan rekod kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas (dahulunya Asec Abidjan), yang mendahului senarai dengan 108 perlawanan tanpa tewas dari 1989 hingga 1994.
RECORDS REWRITTEN YESTERDAY
Hidup Johor Demi Johor#WhatCanYouDo#TheTMJeffect#SouthernTigers#JewelOfTheSouth#JDTforAll pic.twitter.com/fOIzlzsP1v— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) April 12, 2026
Untuk rekod, JDT tidak pernah tewas dalam saingan Liga Super sejak April 2021.
Dengan prestasi memberangsangkan ini, tidak mustahil untuk skuad kendalian Xisco Munoz itu mencipta satu lagi kegemilangan bertaraf antarabangsa, selain menyapu bersih pelbagai kejuaraan domestik ketika ini.
Mengikut perkiraan jadual aksi Liga Super musim ini, JDT mempunyai tiga lagi perlawanan berbaki bertemu Melaka, Kuala Lumpur (KL) City dan Kelantan The Real Warrior (KTRW).
Jadi, berkemungkinan besar JDT bakal meraih rekod tersebut pada awal musim hadapan dengan satu lagi perlawanan diperlukan.