Skip to main content
Advertisement

Maraton

Seret kanak-kanak guna tali, pelari digantung tiga tahun

Seorang pelari di China digantung daripada menyertai pertandingan selama tiga tahun selepas tindakannya menarik seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun menggunakan tali ketika menyertai acara separuh maraton mencetuskan kecaman orang ramai.
Advertisement

Seorang pelari di China digantung daripada menyertai pertandingan selama tiga tahun selepas tindakannya menarik seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun menggunakan tali ketika menyertai acara separuh maraton mencetuskan kecaman orang ramai.

Insiden itu berlaku pada acara Maraton Zhengzhou di wilayah Henan pada 18 Oktober, sebelum rakaman kanak-kanak berkenaan yang mempunyai tali diikat pada pinggangnya tular di media sosial.

Advertisement

Walaupun terdapat pengguna media sosial yang mempersoalkan ketahanan fizikal kanak-kanak itu, majoriti mengecam tindakan lelaki berkenaan, yang dipercayai bapanya, kerana dianggap membahayakan keselamatan serta kesihatan kanak-kanak tersebut.

23 Oktober lalu, seorang pegawai jawatankuasa penganjur Maraton Zhengzhou mengumumkan bahawa pelari berkenaan dikenakan penggantungan selama tiga tahun. Keputusan perlumbaannya turut dibatalkan.

Advertisement

Mengikut peraturan pertandingan, peserta perlu berusia sekurang-kurangnya 20 tahun untuk menyertai maraton penuh dan 18 tahun bagi acara separuh maraton.

Penganjur turut mengingatkan bahawa maraton merupakan acara berintensiti tinggi dan berisiko yang memerlukan tahap kesihatan fizikal serta persediaan latihan bersesuaian.

Beberapa pelari yang menyertai acara itu mendakwa mereka melihat pasangan berkenaan sepanjang perlumbaan. Ada yang menganggarkan mereka mengekalkan kelajuan purata sekitar lapan minit bagi setiap batu, bersamaan kira-kira 4 minit 58 saat bagi setiap kilometer.

Pakar kesihatan turut memberi amaran mengenai risiko yang boleh dihadapi kanak-kanak apabila dipaksa menyertai acara larian jarak jauh.

Menurut Guo Jianjun, profesor di Pusat Inovasi Integrasi Sukan dan Perubatan, Capital University of Physical Education and Sports, tulang kanak-kanak yang masih membesar berisiko mengalami keretakan atau kecederaan akibat tekanan berlebihan.

Sementara itu, Chen Xueli, ketua perubatan pemulihan di Hospital Beijing Shijitan, menjelaskan bahawa peningkatan suhu badan ketika maraton boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak kerana keupayaan mereka mengawal suhu badan serta sistem kardiovaskular yang masih belum berkembang sepenuhnya.

Insiden itu bukan kes pertama membabitkan kanak-kanak dalam acara larian jarak jauh di rantau berkenaan.

Bulan sebelumnya, seorang peserta Maraton Taiyuan menggunakan nombor peserta miliknya untuk membawa seorang kanak-kanak menyertai perlumbaan. Penganjur kemudian mengenakan penggantungan selama dua tahun terhadap lelaki berkenaan.

Awal tahun ini, seorang lelaki turut dilihat menyertai Maraton Hong Kong Standard Chartered sambil mendukung bayi dengan sebelah tangan dan memegang telefon pintar menggunakan tangan yang lain.

Persatuan Olahraga Bersekutu Hong Kong kemudian mengesahkan pelanggaran peraturan itu, dengan petugas perlumbaan mengarahkan lelaki berkenaan dan bayi tersebut keluar daripada laluan pertandingan.

Tindakan penganjur Maraton Zhengzhou itu sekali lagi menekankan kepentingan pematuhan peraturan serta perlindungan keselamatan peserta, khususnya kanak-kanak yang belum memenuhi syarat umur untuk menyertai acara ketahanan jarak jauh.

Anda mungkin berminat dengan

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Must Watch Video