Skip to main content

Permotoran

Sepang saksi kebangkitan, semangat juang Hakim Danish

Sepang saksi kebangkitan, semangat juang Hakim Danish
Advertisement

Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, menghadiahkan aksi membanggakan kepada penyokong tanah air apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di tempat keempat di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC).

Keputusan itu menjadi kebangkitan positif buat pelumba kelahiran Terengganu tersebut selepas melalui dua pusingan mencabar di GP Indonesia dan GP Australia. Hakim Danish mempamerkan prestasi konsisten sepanjang minggu perlumbaan, bermula dengan catatan kelima terpantas dalam sesi Latihan Bebas 1 (FP1) menerusi masa 2:11.834 sebelum meraih petak ketiga dalam sesi Kelayakan 2 (Q2) dengan catatan 2:10.529.

Advertisement

Kejayaan memulakan perlumbaan dari barisan hadapan itu turut menjadi pencapaian bermakna buat Malaysia selepas 14 tahun, mengulangi kejayaan mentornya, Zulfahmi Khairuddin pada 2012.

Dalam perlumbaan Ahad, Hakim Danish memberikan saingan sengit dalam perebutan podium bersama Veda Pratama (Honda Team Asia) dan Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo), malah pernah berada di kedudukan kedua. Bagaimanapun, percubaan terakhirnya untuk merebut podium di selekoh terakhir tidak membuahkan hasil selepas sedikit tersasar.

Advertisement

Beliau menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan catatan 33:12.044, hanya 0.226 saat di belakang Carpe. Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team) pula muncul juara.

Keputusan itu memberikan 13 mata tambahan kepada Hakim Danish, menjadikan kutipan keseluruhan musim ini sebanyak 116 mata dan meletakkannya di tangga kesembilan Kejuaraan Dunia Moto3.

Dalam carta kejuaraan, Quiles terus mendahului dengan 376 mata, diikuti David Almansa (228 mata), manakala Brian Uriarte dan Carpe berkongsi 205 mata. Pratama pula berada di tangga ketujuh dengan 131 mata.

Hakim Danish kini akan memberikan tumpuan kepada baki tiga pusingan musim ini, bermula dengan GP Qatar di Litar Antarabangsa Lusail pada hujung minggu depan.

ZK Racing merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada AEON Credit, semua rakan penaja dan kerjasama pasukan serta seluruh penyokong tanah air yang hadir memberikan sokongan padu kepada Hakim Danish sepanjang minggu perlumbaan. Sokongan anda amat bermakna buat pasukan dan pelumba kami.

"Saya sangat gembira kerana sudah memberikan segala-galanya dalam perlumbaan hari ini. Saya bersaing sejak awal hingga tamat perlumbaan dan sudah tentu saya mahu meraih podium. Namun, saya terlepas peluang itu dan terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keempat.

"Saya cuba sedaya upaya untuk merebut podium, tetapi ketika di selekoh terakhir, saya cuba mencari ruang untuk memintas Alvaro Carpe sebelum sedikit terbabas. Apa pun, saya sudah memberikan yang terbaik buat semua penonton, keluarga dan pasukan.

"Mengenai sentuhan dengan pelumba lain, saya rasa insiden itu langsung tidak menjejaskan prestasi saya. Saya juga berpendapat persaingan dengan pelumba lain menjadikan perlumbaan lebih menarik untuk disaksikan oleh semua yang hadir di Sepang.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penaja, terutama ZK Racing,  AEON Credit, pasukan saya, KBS, SIC dan penaja-penaja yang lain. Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang hadir menyaksikan perlumbaan saya hari ini, selain keluarga, pasukan dan semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan.

"Mengenai rekod podium Zulfahmi di Sepang, saya rasa beliau tidak terlalu kecewa. Mungkin beliau juga gembira dengan persembahan saya. Saya memang cuba menamatkan perlumbaan di podium hari ini, tetapi mungkin belum ada rezeki. Insya-Allah, saya akan mencuba sekali lagi tahun depan.

"Ya, masih ada tiga perlumbaan berbaki musim ini. Saya percaya tidak mustahil untuk menaiki podium atau meraih kemenangan sekali lagi. Saya akan terus berjuang mencapai sasaran itu dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap perlumbaan."

Anda mungkin berminat dengan

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Must Watch Video