Pengurus sepak takraw negara, Datuk Abu Jimi Samat, menyifatkan keputusan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menggantung sementara seramai lima pemain, dua jurulatih serta seorang pengurus skuad sepak takraw Thailand sebagai tindakan tepat.
Abu Jimi yang juga Naib Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berpandangan hukuman berat wajar dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah tanpa 'memilih bulu' sentimen negara terlibat.
Susulan insiden boikot perlawanan akhir acara regu berpasukan di pentas Piala Dunia 2026 Mei lalu, insiden ini bukan soal perseteruan di antara Malaysia dan Thailand sebaliknya melibatkan imej serta integriti sepak takraw di mata dunia.
Dia percaya sekiranya Thailand bebas daripada hukuman berat, tidak mustahil situasi sama bakal berulang di kejohanan peringkat antarabangsa pada masa akan datang.
Terdahulu pada Isnin, ISTAF telah mengenakan hukuman penggantungan, tidak boleh terlibat dengan sebarang aktiviti sepak takraw kepada tujuh individu terlibat sehingga kes perbicaraan jawatankuasa disiplin badan induk sepak takraw dunia itu selesai.
"Keputusan ISTAF itu penting kerana ia mencerminkan sejauh mana ISTAF bertanggungjawab menjaga integriti kejohanan.
"Bagi saya keputusan itu tepat, kita perlu ambil Tindakan segera dahulu, penggantungan yang bukan bersifat hukuman kerana saya difahamkan Lembaga disiplin masih belum bersidang.
"Saya harap ISTAF tidak ambil masa lama kerana ada kejohanan libatkan pemain mereka dan pasukan lain, pendirian saya, saya mahukan pasukan yang kita lawan pemain Utama, barulah menang itu jantan, aksi sebelum ini bukan tak jantan, kerana bukan kita tidak main, orang tak berani lawan kita." katanya.