Pelumba HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING, Azroy Hakeem Anuar mempamerkan tunggangan memukau apabila mengungguli sesi kelayakan keseluruhan kategori CP150 sempena Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang, hari ini. Azroy merakam masa terpantas 53.232s pada Kelayakan 2 untuk mengenepikan barisan pencabar dalam usaha mencatat masa terbaik di litar yang cukup mencabar ini.
Persaingan di litar terbukti amat sengit apabila Azroy hanya dipisahkan dengan margin masa yang sangat tipis berbanding dua seterunya dari kem TAB SPORTS SCK HONDA RACING. Md Irfan Haykhal Amidi muncul pencabar terdekat di kedudukan kedua keseluruhan dengan masa 53.249s, manakala rakan sepasukannya, Md Helmi Azman melengkapkan kelompok tiga terbaik menerusi catatan 53.326s. Ketiga-tiga pelumba handalan ini mencatatkan masa pantas mereka tatkala sesi Kelayakan 2 berlangsung dalam keadaan cuaca panas dan persaingan trek yang mendebarkan, sekali gus membuktikan kualiti saingan yang cukup tinggi pada hujung minggu ini.
Dominasi cemerlang Azroy bermula seawal sesi Latihan Bebas lagi apabila beliau selesa mendahului Kumpulan A dengan masa 54.215s. Rentak laju itu berjaya dikekalkan dalam sesi Kelayakan 1 menerusi catatan 53.531s, sebelum beliau melakukan lonjakan terakhir yang luar biasa pada sesi Kelayakan 2 untuk mengesahkan penguasaannya serta memberi amaran awal yang kepada pesaing-pesaing menjelang saingan Super Pole.
Dalam pada itu, cabaran dari jentera Yamaha turut memberi bayangan saingan sengit dan tidak boleh dipandang mudah. Nazirul Izzat Md Bahauddin mewakili PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR mengekori rapat di kedudukan keempat keseluruhan menerusi rekod 53.447s yang dicatatkan pada sesi Kelayakan 2. Sementara itu, kelajuan Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING pada sesi Kelayakan 1 dengan masa 53.511s juga cukup ampuh untuk menempatkan dirinya di kedudukan kelima terpantas keseluruhan, membuktikan aksi pelumba dari Kumpulan B juga tidak kurang hebatnya.
Azroy berkata, "Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan perkembangan positif hari ini. Dari segi persiapan jentera, seluruh pasukan telah bekerja keras untuk mencari pelarasan kuasa yang lebih optimum. Hasilnya, saya dapat rasakan motor ini mempunyai 'semangat' dan tahap kuasa baharu yang amat memberangsangkan. Perkara ini membuatkan saya berasa lebih yakin, selesa, dan sangat gembira ketika beraksi di litar tadi.”
“Walau bagaimanapun, hari ini baru hari Sabtu, ia sekadar sesi ujian dan kelayakan, bukannya penentu segalanya. Esok adalah hari penentu yang sebenar dan perlumbaan. Harapan saya, kami dapat mengekalkan momentum dan konsistensi cemerlang ini hingga ke garisan penamat. Menariknya, kami tidak menggunakan sebarang komponen baru, sebaliknya ia adalah berkat 'sentuhan magis' dan ketelitian pasukan mekanik yang berjaya memberikan kita sedikit kelebihan berbanding pesaing lain. Saya berazam untuk memanfaatkan pelarasan terbaik ini dan memberikan tunggangan seratus peratus untuk pusingan ini."
Khair tembusi halangan 53 saat
Saingan Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang hari ini menyaksikan kebangkitan luar biasa pelumba IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM, Md Khairi Asyraf Mahmood, yang mempamerkan aksi dominan untuk muncul sebagai pelumba terpantas keseluruhan bagi kategori CP125.
Mempamerkan tunggangan penuh agresif pada sesi penentuan, Khairi melakar masa cemerlang 53.982s dalam sesi Kelayakan Kumpulan B. Beliau mencipta kejutan apabila muncul sebagai satu-satunya pelumba yang berjaya memecahkan halangan masa 53 saat sepanjang sesi kelayakan berlangsung. Kejayaan ini hadir selepas permulaan yang mencabar pada awal hari, di mana beliau bergelut untuk mencari rentak dan gagal menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik pada sesi Latihan Bebas 1.
Rentak kecemerlangan Khairi mula terserlah pada sesi Latihan Bebas 2 apabila beliau mula menemui keserasian lalu melonjak ke kedudukan kedua dengan catatan masa 54.434s. Momentum positif itu terus digempur apabila beliau memerah kelajuan maksimum jenteranya pada sesi Kelayakan, membolehkannya terus menyingkirkan barisan pencabar utama yang lain daripada kedudukan teratas.
Pencabar terdekatnya, Md Syamil Amsyar M Iffende dari pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING mempamerkan aksi yang sangat konsisten pada awalnya setelah berjaya mengungguli sesi Latihan Bebas 1 dengan catatan masa 54.647s dan Latihan Bebas 2 pada 54.205s bagi Kumpulan B. Walau bagaimanapun, kehebatan Khairi pada sesi Kelayakan memaksa Syamil berpuas hati di kedudukan kedua keseluruhan menerusi catatan masa kelayakannya pada 54.152s.
Sementara itu, persaingan di Kumpulan A turut menjanjikan pertempuran yang mendebarkan. Pada sesi pagi, Arash Tsunami Kamarudin dari AHM IPONE RACING TEAM pantas mencuri tumpuan dengan mendahului Latihan Bebas 1 dengan catatan masa 54.881s. Namun, pelumba ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, Md Idlan Haqimi Raduan membuktikan kredibilitinya apabila bangkit mengungguli sesi Latihan Bebas 2 dengan 54.537s. Idlan cemerlang mengekalkan rentak pantas itu untuk menguasai sesi Kelayakan Kumpulan A menerusi catatan 54.210s, sekali gus meletakkan dirinya di kedudukan ketiga terpantas secara keseluruhan.
Melengkapkan senarai lima pelumba terpantas gabungan kelayakan adalah Md Farid Hakimi Farid Sezli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING di tempat keempat dengan catatan 54.375s, diikuti rapat oleh pelumba ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas di kedudukan kelima dengan masa 54.433s. Kesemua pelumba di kelompok hadapan ini hanya dipisahkan dengan jurang perpuluhan saat yang sangat kecil, memberikan gambaran awal tentang persaingan untuk penentuan petak utama iaitu sesi Shoot Out dan perlumbaan akhir esok.
Khairi berkongsi, “Semestinya saya berasa sangat gembira dan lega dengan keputusan hari ini. Pada awal sesi tadi, saya sebenarnya agak bergelut untuk mendapatkan pelarasan dan keserasian yang tepat dengan jentera. Namun, berkat kesabaran dan hasil kerja keras seluruh pasukan, syukur Alhamdulillah saya berjaya juga merakamkan catatan masa yang terpantas secara keseluruhan.”
“Perancangan untuk hari esok, fokus pertama saya adalah untuk mengekalkan momentum ini dan memberikan tumpuan sepenuhnya dalam sesi ‘Shoot Out’ demi mengesahkan kedudukan petak utama. Selepas kedudukan itu terjamin, fokus saya beralih sepenuhnya kepada perlumbaan sebenar. Saya tahu persaingan akan menjadi sangat sengit, tetapi saya berazam untuk berjuang habis-habisan, mengekalkan konsistensi, dan mencuba sedaya upaya untuk menaiki podium buat pasukan.”
Abdurraqib sambar petak utama
Saingan Kelayakan Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di litar Stadium Negeri Pulau Pinang hari ini menyaksikan Raja Abdurraqib Raja Norfatihah dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING mempamerkan tunggangan bertenaga dan keserasian menakjubkan bersama jenteranya apabila berjaya menyambar petak utama kategori WIRA.
Abdurraqib mempamerkan pecutan maksimum pada saat akhir sesi Kelayakan untuk mencatat masa terpantas 54.532s. Catatan itu meleburkan hasrat Md Fairil Hazmi Farid Sezli dari IGOL BROTHERS 7 TECH RACING yang terpaksa berpuas hati bermula di kedudukan kedua esok dengan catatan 54.692s. Rakan sepasukan Abdurraqib, Nuzzul Ady Muhammad Sudin turut garang melengkapkan kelompok tiga terpantas menerusi masa 55.028s, menjanjikan dominasi awal kem PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING di litar teknikal ini.
Terdahulu, saingan kategori WIRA dilihat sangat terbuka bermula dari sesi Latihan Bebas 1 yang didominasi oleh Ahmad Malek Ridha dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING dengan masa 56.110s. Rentak persaingan bertambah panas pada Latihan Bebas 2 apabila Fairil mula memacu pantas merakam masa 54.942s, manakala Abdurraqib mengekori rapat di tempat kedua. Namun, percaturan pelarasan jentera yang tepat pada penentuan kelayakan membolehkan Abdurraqib melakukan lonjakan sekalilgus merampas petak pertama. Melengkapkan kelompok lima terpantas kelayakan adalah Adam Danial Abdul Fattah dari ESTREMO PITSBIKE YAMAHA FVZR TEAM pada 55.116s dan Md Airel Ahmad Marzuki dari HONDA RS MEGATECH RACING TEAM dengan catatan masa 55.117s.
Abdurraqib "Alhamdulillah, syukur atas rezeki petak utama hari ini. Sepanjang sesi Kelayakan tadi, saya dapat rasakan satu keserasian yang luar biasa dengan jentera. Pelarasan yang disediakan oleh pasukan berfungsi dengan sangat sempurna. Sejujurnya, ketika memasuki pusingan terakhir tadi, perasaan saya sudah kuat mengatakan bahawa saya mempunyai kelajuan yang cukup untuk merampas petak pertama. Tanpa sokongan, komitmen, dan kerja keras tanpa henti daripada seluruh pasukan, keputusan ini mustahil untuk dicapai. Terima kasih yang tidak terhingga buat mereka.”
"Bercakap tentang cabaran di litar ini, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Karakter trek di sini agak teknikal dan cuaca yang panas terik benar-benar menguji ketahanan fizikal dan jentera. Oleh itu, saya terpaksa mengawal emosi dan gaya tunggangan agar tidak terlalu agresif. Fokus utama saya tadi bukan sekadar mencatat masa pantas, tetapi juga memastikan saya dapat menyimpan ketahanan tayar untuk perlumbaan sebenar esok.”
“Untuk perlumbaan esok, saya menjangkakan satu pertempuran yang sangat mendebarkan. Jika kita lihat pada carta, catatan masa semua pelumba sangat rapat. Barisan pencabar lain, terutamanya Fairil dan rakan-rakan yang lain pasti akan memberikan tekanan yang hebat. Namun, saya sudah bersedia sepenuhnya dan sasaran utama saya adalah untuk menamatkan perlumbaan di atas podium.”