Gempar melanda ibu pejabat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di Zurich, Ketua Pegawai Operasi (COO), Kevin Lamour, secara rasmi disingkirkan daripada jawatannya pada 17 Ogos 2026 hanya beberapa minggu selepas melancarkan kritikan terbuka dan tajam terhadap Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Dalam kenyataan rasmi, jurucakap FIFA mengesahkan hubungan kerja antara badan induk itu dengan Lamour telah berakhir, sambil mengucapkan terima kasih atas dua tahun perkhidmatannya tanpa sebarang komen lanjut.
Tetapi apakah sebenarnya punca perpecahan ini?
Semuanya bermula akhir Julai lalu, apabila Lamour tampil bersama Associated Press mendedahkan kebimbangan mendalam terhadap projek kontroversi bernama FIFA Forward Enterprise, sebuah cadangan yang akan membenarkan pelabur persendirian memiliki saham dalam Piala Dunia sendiri.
Lamour mendakwa kakitangan FIFA telah 'ditipu' oleh Infantino mengenai implikasi sebenar perjanjian tersebut. Malah, tidak teragak-agak menyifatkan seluruh projek itu sebagai “projek seorang individu sahaja” kritikan langsung terhadap gaya kepimpinan Infantino.
Dan Lamour sedar akan risiko yang diterima dengan kata-katanya sendiri dan bersedia jika kehilangan jawatan.
Tekanan hebat daripada pelbagai pihak berkepentingan akhirnya memaksa FIFA membatalkan keseluruhan rancangan itu tetapi kerosakan dalaman sudah pun berlaku.
Lamour bukan calang-calang individu dalam pentadbiran bola sepak dunia. Dia bersama Infantino sejak era Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) pada 2007, sebelum berpindah ke FIFA pada November 2024. Kini, hampir dua dekad jalinan profesional itu berakhir dalam keadaan penuh percanggahan.
Setakat ini, Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom, telah memaklumkan seluruh kakitangan melalui e-mel dalaman mengenai pemergian ini.
Satu babak baharu drama kepimpinan di puncak bola sepak dunia dan mata dunia bola sepak kini tertumpu ke Zurich untuk melihat apa akan berlaku seterusnya.