Pilihan Menteri Dalam Negeri yang diketuai oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berjaya memperoleh kemenangan tipis ke atas Astro Arena hasil penentuan sepakan penalti yang berakhir 6-5 selepas masa penuh 5-5 dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur malam tadi.
Aksi berlangsung dramatik dalam keadaan hujan dan padang berlopak tidak mematahkan semangat kedua-dua pasukan mempamerkan permainan berkualiti.
Jaringan dibalas dengan jaringan menyaksikan perlawanan sangat sengit sehingga terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti.
Dalam penganjuran edisi sulung itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu sendiri berjaya menjaringkan gol pada babak kedua permainan.
Dalam masa sama, Pengarang Urusan Berita dan Digital Astro Arena, Wan Norbazly Wan Azmi, sempat bertukar cenderahati dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai tanda mengeratkan silaturahim dan menjayakan program itu bersama.
Perlawanan yang melibatkan pasukan pilihan Menteri Dalam Negeri dan Astro Arena sebagai salah satu inisiatif memperkukuh hubungan kerjasama, semangat kesukanan serta jalinan silaturahim antara agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan pengamal media.
