Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon, mengakui pihak pengurusan kelab berpuas hati dengan prestasi semasa yang ditampilkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon sejak dia dilantik untu mengendalikan pasukan sejak Januari lalu.
Dia turut menjelaskan pihak pengurusan menaruh kepercayaan penuh kepada bekas pengendali Harimau Malaya itu untuk memacu Selangor ke tahap lebih baik.
Advertisement
Sentuhan magis Pan-gon bersama The Red Giants setakat ini menyaksikan tujuh perlawanan diharungi tanpa tewas dengan merekodkan lima kemenangan serta dua kali seri.
"Saya rasa Pan-gon telah pamerkan kualiti kepimpinan untuk bawa pasukan, kredit juga buat jurulatih lain dan para pemain yang berada di atas padang kerana dapat melaksanakan dengan baik.
"Walaupun beberapa kali dalam situasi sukar, mereka bangkit untuk raih keputusan yang memanfaatkan buat kelab.
"Buat masa ini kami masih lagi mengekalkan sasaran layak ke separuh akhir ACC Shopee Cup, tempat kedua dalam saingan liga dan final Piala Malaysia.
"Semasa perbincangan, Pan-gon selesa dan terima cabaran ini dan dia sendiri mahu bawa.
"Kami berharap sokongan penyokong berterusan dan dapat memberikan sokongan kepada penyokong yang berjuang di atas padang." katanya.