Malaysia mencipta rekod dalam Kejohanan Badminton Seluruh England 2026 apabila menghantar lapan gandingan beregu lelaki ke saingan utama, jumlah terbanyak dalam kalangan negara yang menghantar wakil ke kejohanan tertua itu.
Menariknya, empat pasangan negara diundi di bahagian bawah jadual, dan tidak akan bertemu sesama sendiri di pusingan awal.
Advertisement
Dan, sekiranya Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan wee Kiong, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Arif Junaidi-Yap Roy King serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik melepasi pusingan pertama, Malaysia sudah pasti mempunyai sekurang-kurangnya satu wakil di separuh akhir.
Semua tumpuan kini terarah ke Birmingham dengan harapan Malaysia mampu melakar sejarah baru.
Legenda badminton negara, Koo Kien Keat menasihati ke semua lapan beregu lelaki agar merebut ruang dan peluang untuk mencipta kejutan, meskipun sandaran utama diletakkan kepada Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron-Wooi Yik.
"Kita jangan memberi mereka tekanan berlebihan.
"Ini adalah peluang terbaik, Malaysia bakal ada wakil dalam separuh akhir.
"Kita harus mempercayai mereka. Azimat Tahun Baru Cina menjadi semangat buat mereka," katanya.
Bagi beregu wanita pula, Pearly Tan-M. Thinaah diharap mampu melepasi halangan awal biarpun pernah tewas secara straight set kepada beregu Jepun Arisa Igarashi-Chiharu Shida.
Sementara itu, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut diharap membawa magis kejuaraan dunia di Eropah dan elak kecundang awal dalam edisi Seluruh England kali ini.
"Mereka harus mempunyai pemikiran yang tepat.
"Tiada masalah daripada segi permainan, cuma pemikiran sahaja perlu selari.
"Semua peminat memperhatikan mereka.
"Berdasarkan keyakinan yang ada, mereka semakin matang.
"Jangan pandang rendah dan kekal fokus," tambahnya.