Juara dunia beregu campuran 2025, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, tidak menyembunyikan hakikat bahawa mereka perlu memperbaiki aspek komunikasi di atas gelanggang selain mengatasi kesilapan servis.
Tang Jie-Ee Wei terkandas 21-18, 12-21, 23-25 di tangan Rasmus Espersen-Amalie Cecilie Kudsk dari Denmark, biarpun hampir menyempurnakan misi kebangkitan mereka dalam pusingan pertama Seluruh England di Birmingham, malam tadi.
Advertisement
"Komunikasi kami mengenai pertukaran posisi perlu diperbaiki.
"Kami perlu lebih banyak berkomunikasi supaya corak permainan kami lebih jelas dan tersusun.
"Ia antara perkara yang kami perlu belajar daripada perlawanan ini," katanya selepas perlawanan.
Gandingannya, Ee Wei turut tidak berselindung, lebih-lebih lagi ketika dirinya sendiri melepaskan kesempatan dalam situasi getir.
"Itu juga antara perkara yang perlu kami perbaiki menjelang kejohanan seterusnya," katanya.
Ee Wei turut mengakui beberapa kesilapan servis yang dilakukan menjejaskan keyakinannya terutama ketika mata kritikal.
"Saya rasa terlalu banyak kesilapan servis dan itu menyebabkan saya sedikit hilang keyakinan.
"Pada mata penting, saya juga melakukan beberapa kesilapan kerana bimbang melakukan kesilapan servis sekali lagi," katanya pula.
Tambah Ee Wei, mereka juga kerap membuat pukulan tinggi hingga memerangkap mereka.