Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Selangor (SelSDeaf) menyuarakan harapan agar mendapat pengiktirafan rasmi serta sokongan kewangan yang lebih menyeluruh daripada Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan pembangunan sukan orang pekak dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan mampan.
Presiden SelSDeaf dalam ucapannya sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 persatuan itu menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor, khususnya Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS), Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) serta Yayasan Insan Istimewa Selangor yang sentiasa memberikan sokongan terhadap pembangunan sukan orang pekak di negeri ini .
Advertisement
Menurut beliau, SelSDeaf bukan sekadar sebuah badan bukan kerajaan (NGO) sukan, sebaliknya berperanan sebagai platform membina sahsiah, nilai kehidupan serta mencungkil bakat semula jadi atlet-atlet pekak Selangor. Kejayaan dalam bidang sukan, katanya, tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama erat daripada kerajaan negeri, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa selepas 14 tahun penubuhan, SelSDeaf masih belum menerima pengiktirafan sebagai badan sukan rasmi yang mewakili orang pekak di Selangor, selain belum memperoleh geran pentadbiran dan peruntukan khas untuk latihan serta persiapan menghadapi kejohanan besar termasuk temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) yang dijadualkan berlangsung pada Ogos 2027, dengan Selangor berpotensi menjadi tuan rumah.
“Kekangan kewangan menyebabkan kebanyakan atlet hanya dapat menjalani latihan singkat, malah ada yang terpaksa menanggung sendiri kos persiapan dan penyertaan kejohanan,” jelas beliau.
Dalam masa sama, beliau memuji perkembangan positif di peringkat persekutuan apabila Persekutuan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia kini menerima perhatian sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan, termasuk meletakkan sukan orang pekak setaraf dengan sukan Olimpik dan Paralimpik serta pengumuman insentif kepada atlet berprestasi tinggi .
Sehubungan itu, SelSDeaf berharap Kerajaan Negeri Selangor dapat memberikan layanan yang sama rata terhadap sukan orang pekak, setaraf dengan sukan normal dan sukan para, termasuk dari segi insentif dan sokongan pembangunan atlet.
Beliau turut menegaskan bahawa SelSDeaf bersedia menjadi rakan strategik kerajaan dalam merangka pembangunan sukan inklusif, di samping menggesa ibu bapa, agensi kerajaan dan sektor swasta agar terus menyokong atlet pekak bukan sahaja dari sudut kewangan, tetapi juga sokongan moral dan pemantauan bakat sejak di peringkat akar umbi .
Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 ini disifatkan sebagai platform penting untuk berkongsi idea, menyuarakan pandangan serta merancang masa depan sukan orang pekak Selangor ke arah yang lebih gemilang.