CONCACAF menolak usul penjualan pegangan Piala Dunia oleh FIFA dalam satu mesyuarat hari ini tetapi tidak mengikut langkah UEFA untuk memboikot temasya global itu.
Dalam pada itu, Persekutuan Bolasepak Mexico (FMF) menyatakan bahawa mereka akan mengkaji usul itu sebelum memutuskan pendirian.
Blok serantau bagi Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean itu menyatakan 41 persatuan ahlinya melahirkan kebimbangan mendalam mengenai ketiadaan proses sewajarnya yang menyelubungi usul berkenaan, tempoh masa yang singkat dan ketiadaan sebarang semakan atau kelulusan oleh badan tadbir urus FIFA yang berkaitan.
"Perbincangan ini memperkukuh keperluan untuk ketelusan yang lebih tinggi dan tadbir urus yang betul," kata CONCACAF dalam satu kenyataan media.
"Atas sebab-sebab ini, CONCACAF dan 41 persatuan ahlinya telah menolak usul berkenaan."
FMF kemudian menyatakan FIFA telah memaklumkan mengenai usul itu pada 28 Julai lalu dan akan menyediakan maklumat serta dokumentasi tambahan kepada persatuan ahli melalui siri sesi perbincangan meja bulat sebelum keputusan dibuat.
"FMF akan menyelesaikan proses kajian dan analisis ini bagi mengambil keputusan yang terbaik untuk pembangunan bola sepak Mexico," tambah persekutuan itu dalam satu kenyataan, tanpa menyatakan sama ada mereka menyokong keputusan CONCACAF untuk menolak usul itu atau sebaliknya.