Selepas mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, juara dunia interim ONE Strawweight Muay Thai, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib atau lebih dikenali sebagai Aliff Rakib terus berkongsi nikmat kejayaan bersama ahli keluarga, sahabat handai dan penyokong setianya.
Pada Isnin, Aliff Rakib mengadakan majlis kesyukuran secara besar-besaran di kediaman baharu keluarganya yang bertempat di Rantau Panjang, Kelantan.
Menerusi video yang dikongsikan di laman sosial peribadi, Aliff menjemput orang ramai untuk turut serta hadir ke majlis yang diadakannya selama 7 jam, bermula 11 pagi tadi.
Menariknya, Aliff sempat berkongsi keadaan rumah banglo bernilai RM1 juta yang dihadiahkan kepada kedua ibu bapanya, Rakib Ahmad dan Suriawati Che Wook sebagai tanda penghargaan di atas segala pengorbanan mereka selama ini.

Menurut Aliff, walaupun ianya sudah sedia didiami, terdapat beberapa perkara yang mahu dilakukannya untuk mencantikkan lagi kediaman itu, seperti memperbaiki laluan masuk dan menambah kelengkapan perabot.
Aliff turut membeli sebuah lagi rumah di Bangkok yang dilaporkan juga sedia untuk didiami tahun ini, sekaligus menguatkan dakwaan bahawa petarung berusia 22 tahun itu bakal menamatkan zaman bujangnya bersama seorang gadis Thailand dalam masa terdekat.
Pertarungan Aliff seterusnya adalah menentang Prajanchai iaitu petarung Muay Thai terkenal dari Thailand dan antara nama besar dalam saingan ONE Championship pada Oktober ini.