Sejurus tamat kempen cemerlang skuad hoki padang lelaki dan wanita dalam Sukan SEA Thailand, tiada masa untuk meraikan kejayaan pingat emas tersebut apabila wira dan wirawati negara sebaliknya dituntut kembali fokus dengan misi utama musim 2026.
Ketua jurulatih, Sarjit Singh, dijangka mengekalkan majoriti pemain sama daripada kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) dan Sukan SEA Thailand yang lalu menjelang kem latihan di Australia yang bertujuan untuk mendapatkan aksi kompetitif selain menyesuaikan diri dengan cuaca memandangkan saingan kelayakan Piala Dunia bakal berlangsung di Mesir.
Advertisement
Lantaran itu, perubahan cuaca menjadi agenda utama kem negara.
Difahamkan, suhu di Mesir pada Februari dan Mac depan dijangka lebih dingin daripada kebiasaan dan nota penting itu menjadi topik analisa barisan kejurulatihan negara.
"Pemain akan melalui jelajah di Australia sebelum ke Ismailia, Mesir, bukannya di Kaherah dan kami tidak pernah bermain di sana.
"Saya harap jelajah Australia dapat memberi semangat yang cukup untuk mereka bersaing di Mesir.
"Pemain muda telah banyak belajar daripada pemain senior bagi memahami rencana Sarjit.
"Lebih segera mereka serasi maka lebih cepat mereka dapat bekerjasama sebagai sebuah pasukan," kata Timbalan KHM, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak.