Kelab Vietnam, Cong An Hanoi (CAHN) terus dirundung malang ketika tersingkir dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) malam tadi.
CAHN sepatutnya menang 4-0 ke atas kelab Singapura, Tampines Rovers, dalam aksi pertama pusingan 16 ACL2 di laman sendiri minggu lalu tetapi kemenangan itu dibatalkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) gara-gara mereka menurunkan pemain yang sedang dalam penggantungan selepas mengutip tiga kad kuning.
Advertisement
Ia menyaksikan Tampines diberikan kemenangan 3-0 bagi membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di laman sendiri.
Dalam pertemuan kedua malam tadi, CAHN, yang sepatutnya melakar kebangkitan, dibolosi pada minit ke-36 oleh penyerang Tampines, Hide Higashikawa.
Keadaan mereka kian di hujung tanduk apabila Leo Artur dilayangkan kad merah, hanya lima minit selepas babak kedua bersambung dan lima minit selepas itu pula, mereka sekali lagi dibolosi jaringan kedua Higashikawa.
CAHN kemudian memperoleh sepakan penalti yang disudahkan Alan pada minit ke-77 untuk menghidupkan sisa perjuangan mereka tetapi hanya dalam masa dua minit, mereka dibolosi lagi, kali ini menerusi gol Trent Buhagiar.
Keputusan itu menyaksikan mereka akur tersingkir biarpun pada awalnya diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk ke suku akhir.