Real Madrid secara rasmi kembali melantik Jose Mourinho sebagai pengurus baharu dengan kontrak tiga tahun dengan harapan mencabar kejuaraan LaLiga musim hadapan.
Langkah itu diambil selepas Los Blancos mengalami pengakhiran yang memalukan dalam kempen domestik mereka, dengan Barcelona merangkul gelaran liga dengan kemenangan 2-0 dalam 'El Clasico' bulan lalu.
Ia menandakan kali pertama dalam 94 tahun kejuaraan liga Sepanyol diputuskan oleh pertemuan antara musuh ketat itu.
Pemenang 15 kali Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu juga gagal melepasi peringkat suku akhir dalam dua musim terakhir, mendorong presiden kelab, Florentino Perez, bertindak tegas selepas dua musim tanpa trofi utama.
Gergasi Sepanyol itu telah memecat Xabi Alonso susulan kekalahan Piala Super Sepanyol kepada Barcelona pada Januari sebelum penggantinya Alvaro Arbeloa juga gagal, selain menghadapi bilik persalinan yang retak dan huru-hara.
Mourinho, 63, sebelum ini mengendalikan Galacticos dari 2010 hingga 2014 selepas baru tiba daripada memenangi tiga gelaran bersama Inter Milan.
Semasa tempoh perkhidmatannya di Real, jurulatih kelahiran Portugal itu telah memenangi Copa del Rey pada 2010/11 dan menjuarai gelaran LaLiga pada musim berikutnya dengan jumlah 100 mata yang memecahkan rekod kelab.
Walau bagaimanapun, The Special One itu juga merosakkan sendiri hubungan antara kelab.
Ketika Mourinho kembali ke salah satu liga paling berharga di Eropah, para penganalisis berpendapat bahawa bola sepak telah berkembang melangkaui gaya pragmatiknya.
Tetapi Perez melihat pengurus veteran itu, yang dikenali kerana mengendalikan ego bilik persalinan, sebagai calon ideal untuk memulihkan disiplin dan mentaliti kemenangan di Bernabeu.
Dengan skuad berbakat termasuk pemain terkenal dunia seperti Kylian Mbappe, Vinicius Jr dan Jude Bellingham, Mourinho mungkin orang yang tepat untuk memastikan tiada musim ketiga tanpa trofi buat Real.