Wakil tunggal negara, Selangor Red Giants (SRG) Esports menyuarakan stigma laluan ke grand final sebagai 'mudah' buat juara Liga Profesional Mobile Legend Bang-Bang Malaysia (MPLMY) empat musim berturut-turut itu.
Kemenangan terbaru SRG adalah ketika menewaskan Team Spirit dari Eropah Timur dalam suku akhir uper braket Kejohanan Dunia M7 menjadi bukti barisan pemain Gergasi Merah sememangnya dahagakan kejayaan di siri M7 itu.
Advertisement
Malah, SRG mempunyai visi dan ambisi yang jelas untuk melakar sejarah baru sukan Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) negara selepas terlepas peluang mencipta impah dalam edisi lalu.
Untuk rekod, pasukan dari Filipina mendominasi siri M sebelum ini menerusi lima mahkota kejuaraan sepanjang enam siri M terdahulu, manakala pasukan dari Indonesia, Evos Legends muncul juara pada edisi M1 pada 2019.
Kemenangan demi kemenangan diraih SRG menguatkan lagi momentum dan ritma kombinasi epik barisan pemain yang sama sejak empat musim lalu sekali gus membuktikan jalinan keserasian mereka sememangnya sukar digugat.
SRG akan berdepan lawan dari Türkiye, Aurora Gaming yang memiliki meta permainan berbeza dari rantau Asia Tenggara.
"Saya rasa ia adalah kerana momentum, kami berasa yakin dengan momentum yang kami bawa. Apa yang kami ada sekarang berbeza berbanding Kejohanan Dunia M6.
"Semua pasukan di sini mahu menang, jadi kami menghormati mereka dan bekerja lebih keras daripada mereka." kata ketua jurulatih SRG Esports, Michael Angelo Bocado.