Kerajaan Negeri Selangor komited untuk membangunkan sukan muay thai di negeri itu dengan merancang kerjasama bersama bintang One Championship, Johan 'Jojo' Ghazali.
Perkara itu diumum EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, Najwan Halimi, dalam satu kiriman media sosialnya malam tadi.
Advertisement
"Petang tadi saya meraikan kunjungan saudara Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih mesra dengan panggilan Jojo, atlet muay thai negara, bersama kedua-dua ibu bapanya di pejabat saya.
"Kami membincangkan pelbagai perkara terkait pembangunan sukan muay thai, merangkumi aspek kejurulatihan, fasiliti kecergasan, pusat latihan, penganjuran acara dan lain-lain.
"Jojo, yang kini sedang menjalani latihan sepenuh masa di Thailand, turut menzahirkan hasrat untuk memainkan peranan lebih aktif dalam membantu pembangunan ekosistem sukan muay thai di Malaysia, khususnya di negeri Selangor.
"Saya menyambut baik hasrat Jojo dan menyatakan komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk turut serta membantu pembangunan sukan muay thai menerusi kolaborasi masa hadapan yang berpotensi digerakkan secara praktikal," katanya.
