Selepas sembilan penampilan Sukan SEA, jurulatih Sarawak yang juga bekas jurulatih polo air negara, Voon Yong Hui, tekad membutirkan pingat emas selepas kali terakhir sukan ini dianjurkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) adalah pada 13 tahun yang lalu.
Sebagai anak jati Sarawak bersama kredibilitinya selaku bekas pemain negara yang meraih pingat perak Sukan SEA Bangkok 1985, hanya podium utama mampu membayar keringat persediaan mereka sejak sembilan bulan lalu, selain niat utamanya menyumbangkan emas buat negeri Borneo itu.
Maka, persediaan kali ini pasti bukan biasa-biasa memandangkan anak buahnya menerima pendedahan latihan di Australia dan Thailand dalam tempoh persediaan mereka menjelang temasya dwitahunan ini.
Pendedahan sudah diberikan dengan sebaiknya, namun Yong Hui sedar ia belum memadai memandangkan rata-rata pemainnya bakal membuat penampilan kali pertama dalam Sukma kali ini.
Dalam aksi pertama kempen hari ini, Sarawak unggul mengatasi Negeri Sembilan dengan keputusan 18-13 di Shah Alam.
"Saya pernah menyertai sembilan Sukan SEA selain bertindak sebagai jurulatih.
"Kami menjalani kem latihan di Australia pada awal tahun ini dan Thailand pada bulan lalu.
"Namun, oleh kerana kekurangan aksi kompetitif, pemain saya gagal bermain dengan baik," katanya di Nadi Arena.