Jaguh 400 meter (m) negara, Umar Osman kini mempunyai pencabar baharu selepas Muhammad Sayyid Amin Roslan mencipta sensasi dengan meraih pingat emas acara itu dalam temasya SUKMA Selangor 2026.
Atlet Pulau Pinang itu membuktikan keputusan beralih daripada acara pecut kepada 400m adalah tepat apabila menjuarai final di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Sayyid mencatat 47.20 saat (s), sekali gus merekodkan catatan terbaik peribadi (PB) dalam acara berkenaan.
Lebih menarik, Sayyid sebelum ini lebih dikenali sebagai pelari 100m dan 200m sebelum membuat keputusan berani meninggalkan acara 200m untuk memberi tumpuan kepada 400m.
Keputusan itu ternyata membuahkan hasil apabila dia berjaya mengungguli saingan di pentas SUKMA.
Pingat perak menjadi milik atlet tuan rumah, Muhammad Daniel Haqie dengan catatan 47.61s, manakala seorang lagi wakil Pulau Pinang, Muhammad Farhan Mohd Isrulnizam meraih gangsa selepas merekodkan 47.66s.
Kejayaan tersebut cukup bermakna buat Sayyid yang sebelum ini muncul juara 200m lelaki pada SUKMA Sarawak 2024.
Kini, kemunculan Sayyid menambahkan lagi persaingan dalam acara 400m lelaki negara, sekali gus memberi cabaran baharu kepada Umar dalam usaha mengekalkan statusnya sebagai pelari nombor satu Malaysia. Ketika ini, Umar memegang rekod kebangsaan dengan catatan masa 45.73s di Taiwan Jun lalu,.