'Dari budak nakal menuju ke kebanggaan negara'
Penembak kebangsaan yang beraksi untuk negeri kelahirannya, Perak Darul Ridzuan, Nazirul Iqbal Roszaini, mencipta sensasi dari awal bidikan bagi acara 10m (meter) air rifle lelaki apabila dinobatkan sebagai pemenang pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Lebih manis lagi, dia kini merupakan pemegang rekod temasya SUKMA dengan membidik 245.9 mata mengatasi rekod asal milik rakan senegara, Haritz Iklil Hessly Hafiz.
"Yang banyak berubah pada diri saya adalah saya lebih matang, dan saya banyak terima motivasi daripada pasukan kebangsaan.
"Saya bawa motivasi itu ke SUKMA, saya bawa pengalaman saya sebelum ini dan cuba gabungkan pengalaman itu ke sini.
"Saya tahu jumlah mata mereka tidak terlalu tinggi seperti di luar negara tetapi saya juga berjaga-jaga dengan mereka," katanya.
Selepas meraih gangsa dalam acara 10 meter air rifle lelaki di SUKMA Sarawak pada dua tahun lalu, Nazirul terpilih untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan pada Febuari 2025 yang sekali gus mengubah keseluruhan hidupnya.
Nazirul tidak berselindung dengan 'kenakalan' di zaman kanak kanaknya hingga pada satu ketika pernah diusir keluar rumah oleh ayahnya sendiri.
Dia juga pernah tertidur ketika sesi latihan sebelah petang ketika bersama dengan kem menembak perak yang mengundang kemarahan jurulatihnya sehingga diusir pulang ke rumah.
Rentetan daripada itu ada azam yang ditanam dalam diri Nazirul yang berjaya membawa kepada perubahan 180 darjah
Kini sasaran Nazirul lebih jelas, dia mahu jadikan penampilan pertama di Sukan SEA tahun hadapan sebagai platform terbaik untuk dia terus menyinar ke pentas yang lebih tinggi
"Saya dulu memang nakal sampai kena halau dari rumah, semasa latihan pernah terlajak tidur dan jurulatih halau pulang ke rumah.
"Sebelum bergerak ke SUKMA 2026, ayah saya pesan agar lakukan yang terbaik. Dengar cakap jurulatih dan cuba lakukan yang terbaik di SUKMA." tambahnya,