Raja Pecut Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, berkata dia masih ada tempoh dua tahun untuk memecahkan rekod temasya acara 100m, 10.18s, yang dilakar Khairul Hafiz Jantan dalam edisi di Sarawak pada 2016.
Ia bermakna Sukma Kelantan 2028 akan menjadi pentas pelari Johor itu menunaikan janjinya untuk memecahkan rekod temasya berkenaan selepas muncul pemenang pingat emas acara 100m dengan catatan 10.27s dalam aksi final di Stadium UPM, Serdang hari ini.
"Khairul Hafiz Jantan merupakan senior saya yang memecahkan rekod Sukma di Sarawak pada 2016," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Saya mahu memecahkan rekod itu sebelum saya berumur 21 tahun, jadi saya masih ada lagi satu Sukma dan Insya-Allah, jika saya diberikan kemudahan dan kelebihan untuk membuat yang terbaik dalam Sukma yang akan datang, saya akan memberikan yang terbaik untuk mendapatkan catatan terbaik."