Walaupun dibarisi pemain terbuang, semangat untuk mengulangi kecemerlangan edisi lalu tetap menjadi keutamaan Melaka.
Skuad Melaka tampil dalam keadaan serba kekurangan dengan kapasiti selaku finalis bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak dua tahun lalu, tapi kali ini mereka tampil berbeza sepenuhnya.
Hal ini didedahkan satu-satunya pemain yang masih bersama dengan Melaka ketika ini iaitu pemain tengah, Mohd Farish Ainun Ashwadi.
Melaka membuktikan segala kesulitan yang dihadapi bukan halangan untuk mereka langkah kanan dalam aksi pembukaan Kumpulan D apabila mengatasi Kelantan 2-0, petang tadi.
Jurulatih Melaka, Md Noor Md Derus, menyifatkan tanpa skuad Piala Presiden mahupun belia di peringkat akar umbi dengan Melaka hanya tampil dengan barisan pemain bukan pilihan dari mana-mana pasukan.
"Kami membina semula pasukan selepas final di Sarawak dan hanya seorang dikekalkan.
"Memang sukar tapi kami dapat mengumpul pemain dalam tempoh 3 hingga 4 bulan.
"Walaupun sukar tapi kami tetap perlu mengharunginya," katanya selepas tamat aksi di Shah Alam.
Juara bertahan, Wilayah Persekutuan (WP), pula dipaksa mengerah keringat dalam perlawanan pembukaan peringkat Kumpulan C di Stadium MBPJ, Selangor, sebentar tadi.
Mereka gagal menjelmakan sebarang jaringan yang mampu memberi kelebihan awal ketika menentang Kedah, dan kedua-dua pasukan terpaksa menamatkan babak pertama dengan terikat tanpa jaringan.
Anak buah Sulaiman Hussin itu memasuki babak kedua dengan semangat juang tinggi dan hampir merobek gawang lawan pada minit-minit akhir permainan, hanya untuk penjaga gol Kedah tenang mengawal keadaan.
Kedah turut beroleh peluang untuk memecah kebuntuan, tetapi penjaga gol WP terus memastikan kubunya selamat untuk kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga wisel penamat.